Ganjaran lebih RM1 juta untuk pengunjung bertuah

Kumpulan Suria KLCC menyediakan pelbagai ganjaran menarik kepada pengunjung sempena musim perayaan
Kumpulan Suria KLCC menyediakan pelbagai ganjaran menarik kepada pengunjung sempena musim perayaan
A
A
A

KUMPULAN Suria KLCC menawarkan ganjaran menarik kepada pengunjung menerusi 'Unlock A Christmas Surprise' yang akan berlangsung bermula 1 Disember lalu sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, pengunjung yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM150 dalam satu resit bermula 1 hingga 25 Disember 2020 layak menerima 'kunci' yang membolehkan mereka membuka peti Krismas dan berpeluang memenangi baucar membeli-belah Suria KLCC bernilai RM5,000.

Menurutnya, sehingga 10,000 kunci akan diberikan di bawah kempen itu dan pada bulan Disember ini, 50 pembeli yang bertuah pasti pulang tersenyum sekiranya berjaya memperoleh baucar tersebut.

"Selain itu, 2,000 hadiah 'Christmas Beauty Box' eksklusif mengandungi produk kecantikan dari The History of WHOO, Sisley Paris, L'Occitane, Sephora dan Sulwhasoo akan diberikan kepada mereka yang membelanjakan RM1,000 ke atas dalam dua resit di mana-mana kedai khas di Suria KLCC," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penebusan itu berlangsung setiap hari, selagi stok masih ada dan hanya satu penebusan untuk setiap pembeli.

Dalam pada itu katanya, terdapat juga Peraduan Digital Krismas iaitu 'Snapping Into Christmas' yang akan berlangsung bermula 6 hingga 17 Disember 2020 untuk memastikan penglibatan golongan muda dan lebih dewasa di Suria KLCC meskipun tanpa sebarang pembelian.

Katanya, seramai 50 pemenang berpeluang memenangi baucar membeli-belah bernilai RM200 dari kedai-kedai yang mengambil bahagian dan untuk mengambil bahagian, sila layari www.suriaklcc.com.my atau www.facebook.com/SuriaKLCCMall.

"Walaupun pada tahun ini kehidupan sedikit berbeza, Kumpulan Suria KLCC tetap akan menyemarakkan suasana perayaan di semua rangkaian pusat membeli-belah kami.

Artikel Berkaitan:

"Ganjaran telah pun diberi secara aktif kepada pembeli sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya ketika kami melancarkan kempen 'The Golden Ticket' pada bulan Jun, Julai dan Ogos yang lalu.

"Kami percaya dengan semua kempen yang telah dijalankan setakat ini, kami mampu memberi kelainan kepada pembeli sebagai tanda penghargaan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu katanya, di Alamanda Putrajaya, sambutan Hari Krismas diserikan dengan hiasan yang bukan sahaja menyinari suasana Hari Krismas, tetapi juga sesuai untuk dimuat naik ke Instagram.

Selain itu katanya, bermula 28 November hingga 27 Disember 2020, pengunjung yang membelanjakan RM500 dan ke atas (tidak melebihi dua resit) di mana-mana kedai khas akan berpeluang memilih bebola hiasan dari Pokok Krismas yang mengandungi baucar hadiah bernilai sehingga RM200 sama ada dari Pandora, Giordano, Uniqlo, Carlo Rino, Body Shop, Sembonia, Lovely Lace atau banyak lagi, di samping menerima hadiah tambahan bernilai RM193 dari AsterSpring dengan setiap penebusan.

"Pengunjung juga akan menerima hadiah tambahan sekiranya mereka berbelanja pada hari Isnin hingga Khamis, tidak termasuk cuti umum.

"Di samping itu, pengunjung di Mesra Mall yang membelanjakan RM250 ke atas dalam tidak lebih daripada dua resit di mana-mana kedai khas berhak untuk menebus baucar F&B Mesra Mall bernilai RM20 dari pelbagai kedai yang mengambil bahagian termasuk Secret Recipe, The Chicken Rice Shop, Empire Sushi, Big Apple Donuts dan Rotiboy," katanya.

Andrew berkata, ketiga-tiga pusat membeli-belah itu telah mempraktikkan keperluan penjarakan fizikal untuk kakitangan dan pengunjung serta memastikan kawasan laluan utama dan permukaan yang kerap disentuh sentiasa dijalankan aktiviti disinfeksi sejak wabak koronavirus (Covid-19) bermula.

Katanya, dalam semua perkara melibatkan operasi dan pengurusan, Kumpulan Suria KLCC sentiasa memastikan amalan terbaik untuk membendung penularan Covid-19.

“Sukacita saya memaklumkan bahawa pusat membeli-belah yang dikendalikan oleh kumpulan syarikat ini tidak pernah menjadi punca penularan Covid-19. Ini membuktikan segala langkah pencegahan yang diambil berkesan.

"Secara umumnya, semua pusat membeli-belah, terutamanya yang dikendalikan oleh Kumpulan Suria KLCC, tidak hanya selamat tetapi juga menarik untuk dikunjungi terutama ketika musim cuti dan perayaan sebegini," katanya.