MOTAC rangka pelbagai program rancakkan sektor pelancongan

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif jangka pendek untuk kembali merancakkan sektor pelancongan dalam negara.

Menterinya, Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia selaras dengan keputusan kerajaan memperkenalkan gelembung perjalanan domestik zon hijau serta kebenaran rentas daerah dan negeri baru-baru ini,

“Penting untuk kerajaan membina semula keyakinan dalam kalangan rakyat adalah selamat untuk melancong di dalam Malaysia.

“Kita yakin bahawa penggiat industri pelancongan kita telah pun bersedia dalam aspek ini dari awal dan terus boleh bergerak sepenuhnya sebaik sahaja aktiviti pelancongan dibenarkan.

“Kita juga beri galakan rakyat untuk melancong dan untuk ini kita tawarkan kepada rakyat insentif dan promosi dalam bentuk baucar rebat, e-baucar, cashback dalam bentuk e-wallet dan diskaun untuk tempahan pakej pelancongan, penginapan dan pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang mahu kementerian menyatakan strategi jangka pendek bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula sepenuhnya susulan kebenaran rentas negeri dan daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengulas lanjut, Nancy berkata, MOTAC akan meneruskan kerjasama dengan penggiat-penggiat industri dan semua kerajaan negeri dalam membangun serta menawarkan pakej-pakej pelancongan baharu yang menarik melalui platform digital.

“Kita perkenal dan promosikan destinasi pelancongan di luar bandar kerana pelancong kini lebih cenderung memilih destinasi yang selamat, kurang orang dan udara segar.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, MOTAC akan teruskan siri Jelajah Semarakkan Pelancongan Domestik. Kita akan pergi ke seluruh negara untuk mempromosikan pelancongan domestik, memperkenalkan produk baru pelancongan dan juga memberi nafas baharu kepada produk sedia ada,” katanya.