X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan PN berhentilah pura-pura

Nur Jazlan Mohamed
A
A

JOHOR BAHRU – Parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutamanya Bersatu dan Pas diminta berhenti bersikap hipokrit dan kuat berpura-pura untuk terus menerajui pentadbiran negara mahupun negeri.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sikap menyembunyikan kelemahan itulah yang menjadi punca banyak krisis politik melanda negara sejak kebelakangan ini termasuk terbaharu di Perak.

Menurutnya, krisis politik di Perak berlaku kerana kegagalan serta kelemahan kerajaan negeri yang diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk memenuhi aspirasi rakyat dan bukannya salah orang lain.

“Bila sesebuah parti (Bersatu) yang menerajui kerajaan negeri itu adalah minoriti, tidak kuat dan dan tidak stabil maka banyak perancangan serta agenda untuk membela rakyat gagal dilaksanakan.

“Akhirnya kehendak rakyat tidak dapat dipenuhi sehingga memaksa usul undi tidak percaya dibuat ke atas Menteri Besar yang selama ini berpura-pura kuat tetapi sebenarnya lemah.

“Situasi sama juga berlaku di peringkat persekutuan apabila Bersatu yang tidak mempunyai majoriti kerusi mengetuai pentadbiran negara sehingga menjadikan kerajaan itu tidak stabil dan berdepan pelbagai krisis politik serta keyakinan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, penyelesaian paling baik untuk menjamin kestabilan negara dan memperkasakan lagi usaha membanteras Covid-19 adalah membentuk semula sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat melalui PRU-15.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin perkenan Saarani sebagai MB Perak

Saarani: Bermula sebagai pendidik, kini Menteri Besar

Katanya, kerajaan PN tidak boleh lagi berselindung di sebalik wabak Covid-19 ini untuk tidak mahu mengadakan PRU-15 kerana beberapa negara lain termasuk negara jiran, Indonesia dan Amerika Syarikat boleh melaksanakan pilihan raya mereka dengan SOP yang ketat.

“Sampai bila kerajaan PN pimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin nak jadikan Covid-19 ini sebagai alasan untuk menyelamatkan kedudukan mereka.

“Kalau negara luar yang rakyat mereka lebih ramai dan kes Covid-19 lebih tinggi boleh mengadakan pilihan raya mengikuti SOP sehingga terbentuk sebuah kerajaan yang stabil, mengapa Malaysia tak boleh ikut?

“Serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk mereka memilih semula sebuah kerajaan yang kuat dan boleh menjaga kestabilan ekonomi serta politik. Bukan macam kerajaan sekarang yang kononnya nampak kuat dari luar tetapi hakikatnya cukup rapuh di dalam,” ujarnya.

Dalam pada itu Nur Jazlan melahirkan keyakinan bahawa banyak krisis politik dan pentadbiran dapat dielakkan selepas rakyat memilih semula kerajaan baharu melalui PRU-15.

“Apabila sudah tertubuhnya kerajaan stabil dengan parti yang mempunyai majoriti kerusi menerajui negara, maka fokus pentadbiran boleh ditumpukan kepada usaha membanteras Covid-19, membangunkan semula ekonomi dan tidak lagi memikirkan isu politik 24 jam,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!