Beri peluang OKU bekerja: Ras Adiba

Ras Adiba
Ras Adiba
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat di negara ini perlu mengubah persepsi terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) dan mengamalkan prinsip 'zero reject policy' dengan memberi peluang kepada golongan itu untuk bekerja, menuntut ilmu dan hidup dalam suasana yang positif.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Ras Adiba Radzi berkata, antara kaedah dan cara yang paling bagus untuk mengubah persepsi terhadap OKU adalah mendidik anak-anak bermula dari kecil dengan menyokong dan tidak memandang rendah kepada golongan itu.

"Kaedah yang terbaik adalah dengan mengajar anak-anak bermula dari peringkat tadika, sekolah rendah dan menengah mengenai OKU, kategori OKU dan bagaimana untuk menyokong OKU.

"Golongan OKU sepatutnya diberi peluang untuk maju ke hadapan seperti bekerja dan menuntut ilmu. Buka peluang kepada OKU untuk bekerja kerana mereka pun boleh menjana pendapatan untuk negara," katanya selaku panelis pada program Wacana Al-Quran bertajuk Hak OKU: Adilkah Kita? surah al-Fath ayat 16 dan 17 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Masyarakat perlu terima OKU seadanya

'Lihat kelemahan sebagai kekuatan'

Turut menjadi panelis ialah Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Dr Mohd Huzairi Husain.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali memperdengarkan bacaan surah al-Fath ayat 16 dan 17.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ras Adiba turut berkongsi pengalamannya melalui kehidupan yang sukar setelah menjadi OKU sejak 2002.

Wacana Al-Quran sesi ke-38 membincangkan topik Hak OKU: Adilkah Kita? dari kiri Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator, para panelis Ras Adiba (dua dari kiri), Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Dr Mohd Huzairi Husain dan qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang berlangsung di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam semalam. - FOTO SINAR HARIAN
Wacana Al-Quran sesi ke-38 membincangkan topik Hak OKU: Adilkah Kita? dari kiri Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator, para panelis Ras Adiba (dua dari kiri), Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Dr Mohd Huzairi Husain dan qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang berlangsung di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam semalam. - FOTO SINAR HARIAN

"Saya tidak dapat gambarkan bagaimana keadaan ketika itu. Dalam tempoh enam tahun saya bertungkus-lumus mencari pekerjaan tetapi gagal kerana saya seorang OKU.

"Dalam tempoh enam tahun itu, tiada siapa pun yang tahu saya makan nasi dengan garam dan minum air demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Kerana itu saya perlu bangkit dan positif. Pada 2003 saya menyertai aktiviti bersama OKU yang lain bagi memberi pendedahan kepada masyarakat terutama ibu bapa yang memiliki anak OKU bahawa golongan OKU adalah luar biasa.

"Saya sering berkongsi dengan orang ramai tentang stigma terhadap OKU. Sahabat saya yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam 580,000 orang tetapi di bawah United Nation 15 peratus populasi sesebuah negara itu adalah OKU bermakna di negara ini OKU yang sepatutnya berdaftar adalah 4.7 juta orang. Di mana sahabat saya lain?" katanya.

Beliau berkata, persepsi negatif terhadap OKU adalah tidak wajar kerana setiap individu berpeluang untuk menjadi OKU.

"Sebenarnya setiap daripada kita akan jadi OKU suatu hari nanti. Kita terlupa tentang itu.

"Menjelang tahun 2030, populasi warga emas di negara ini akan meningkat dan bermula sekarang kita mesti jadikan negara mesra dan ramah OKU dengan menyediakan prasarana dan fasiliti sepatutnya," katanya.

Ras Adiba turut meminta supaya masyarakat tidak memandang hina golongan OKU, mengherdik atau menyindir golongan berkenaan.

"Berilah peluang untuk kami menyertai masyarakat dan peluang kami bekerja. Saya selalu bagi tahu sahabat OKU bahawa kita semua adalah luar biasa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KKMM tubuh unit komunikasi OKU, pertingkat komunikasi dua hala

VIDEO BERKAITAN: OKU: Kerjaya & potensi

Permata hatiku, anak syurga