Status TRM tidak perlu dibatalkan, kekal di tapak prasarana awam

Ali Biju
Ali Biju
A
A
A

KUALA LUMPUR – Status Tanah Rizah Melayu (TRM) tidak perlu dibatalkan walaupun kawasan itu mempunyai infrastruktur awam kerajaan, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju.

Menurutnya, ini kerana Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), entiti yang memiliki tanah yang dibangunkan infrastruktur awam bagi kerajaan diiktiraf sebagai Melayu di setiap negeri berdasarkan semua enakmen TRM di Semenanjung.

Beliau berkata, urusan pembatalan TRM di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri mengikut enakmen TRM negeri masing-masing, manakala PTP pula adalah entiti yang memiliki tanah infrastruktur awam bagi kerajaan Persekutuan dan PTP diiktiraf sebagai Melayu di setiap negeri.

“Oleh itu tiada keperluan bagi mana-mana kawasan TRM yang mempunyai infrastruktur awam kerajaan Persekutuan perlu dibatalkan. Bagaimanapun perkara ini masih tertakluk kepada dasar ditetapkan pihak berkuasa negeri masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai apakah dasar kementerian berkaitan peningkatan dan pengurangan TRM dan adakah semua TRM yang digunakan bagi infrastruktur awam diganti semula.

Dalam pada itu, beliau berkata, maklumat terperinci mengenai jumlah keluasan TRM di seluruh negara setakat ini adalah data eksklusif pihak berkuasa negeri masing-masing.

“Adalah lebih sesuai untuk Yang Berhormat membangkitkan perkara ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkenaan kecuali Pulau Pinang dan Melaka kerana kedua-dua negeri ini tidak mempunyai TRM.

“Isu berkaitan TRM dibincangkan bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melalui platform Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Data TRM Semenanjung Malaysia yang mana kementerian ini sebagai urus setia,” katanya.

Artikel Berkaitan: