Pelantikan Saarani, bukti kerjasama PN masih kukuh

Syed Agil Alsagoff
Syed Agil Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu bukti pengukuhan kerjasama antara tiga parti dalam Perikatan Nasional (PN) masih terjalin.

Demikian pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff setelah kemelut politik Perak berakhir dengan baik dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, pemilihan Saarani dibuat setelah UMNO berkompromi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas biarpun menghadapi isu-isu berkaitan politik antara mereka.

"Ini merupakan petanda baik bagi ketiga-tiga parti itu yang memilih langkah untuk mengelakkan konfrontasi politik sekali gus memilih untuk mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan parti.

"Ini juga menjadi keperluan asas pengukuhan perjuangan Muafakat Nasional untuk memperjuangkan kepentingan politik Melayu Islam dan memberi pengukuhan keyakinan terhadap kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Saarani tiba di Istana Iskandariah

Saarani MB Perak yang baharu

Saarani, 59, adalah anak kelahiran Lenggong, Perak dilahirkan pada 13 Mac 1961. Beliau dan pasangannya, Datin Aezer Zubir yang juga pesara guru dikurniakan lapan orang cahaya mata.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan selama empat penggal itu, pernah berkhidmat bersama tiga Menteri Besar Perak iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahli politik berpengalaman itu juga pernah menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sewaktu Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negeri itu pada Mei 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin perkenan Saarani sebagai MB Perak

Saarani: Bermula sebagai pendidik, kini Menteri Besar

Mengulas lanjut, Syed Agil percaya Saarani akan memberi keutamaan kepada soal perpaduan parti-parti politik dengan mengagihkan kedudukan portfolio exco kepada keanggotaan parti-parti yang menyokong pembinaan kerajaan negeri yang baharu dengan mengambil kira sokongan Bersatu dan Pas dalam komponen tersebut.

"Selain itu, beliau harus memberi keutamaan kepada hal-hal berkaitan dengan pelaburan ekonomi, merancakkan ekonomi domestik selain memastikan kebajikan rakyat terus terbela dengan ancaman pendemik Covid-19 ini.

"Beliau seharusnya mencari pendekatan dan formula baharu untuk merangsang ekonomi lebih baik di negeri itu di samping menumpukan peningkatan taraf sosioekonomi rakyat di negeri tersebut," katanya.

Hari ini, Saarani dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah-sudahlah berpolitik, rakyat Perak sudah letih

Kerajaan baharu Perak: Persepakatan ikhlas atau bersifat ‘kosmetik’?