IPD Penampang catat 500 kompaun, tertinggi di Sabah

Mohd Haris ketika ditemui pemberita di IPD Penampang.
Mohd Haris ketika ditemui pemberita di IPD Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mencatatkan lebih 500 kompaun dikenakan kepada orang ramai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, daerah itu mencatat kompaun tertinggi sejak PKP dikuatkuasakan.

"Jumlah kompaun di Penampang adalah tertinggi di Sabah di mana kita telah mengeluarkan lebih 500 kompaun daripada awal PKP dikuatkuasakan.

"Angka ini agak tinggi dan nilai bagi satu kompaun adalah RM1,000. Bayangkan ada 500 kompaun akan capai setengah juta," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, kebanyakan kesalahan yang dikenakan kompaun adalah kegagalan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kebanyakan kompaun dikenakan adalah bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka, berada di kawasan yang sesak sehingga sukar mengambil penjarakan fizikal serta di kawasan kafe dan restoran.

"Ada pelanggan dan pemilik tidak mematuhi kapasiti meja di restoran iaitu meja untuk empat orang hanya dua orang dibenarkan dan meja enam orang hanya tiga orang dibenarkan. Jadi apabila ia tidak dipatuhi, kita terpaksa kompaun pemilik serta pelanggan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Haris turut mengingatkan masyarakat setempat walaupun kerajaan melonggarkan syarat dengan membenarkan rentas daerah serta negeri, namun Sabah masih dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita tidak boleh lupa SOP dan amalan normal baharu ini yang kita perlu patuhi di mana-mana saja. Kita tidak boleh berikan kelonggaran kepada masyarakat kerana wabak Covid-19 ini membahayakan nyawa serta boleh membawa maut.

Artikel Berkaitan:

"Jangan disebabkan kelalaian kita, orang lain pula dijangkiti. Oleh sebab itu kerajaan terpaksa bertegas dalam hal ini bagi memastikan kita dapat memutuskan rantaian penularan pandemik ini," katanya.