Pakai pelitup muka rompak rumah guru

Banglo di Kota Sri Aman, Kubang Kerian di Kota Bharu yang dipecah masuk hari ini. Gambar kecil: Abdul Rahim
Banglo di Kota Sri Aman, Kubang Kerian di Kota Bharu yang dipecah masuk hari ini. Gambar kecil: Abdul Rahim
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga penjenayah memakai pelitup muka dan bersenjatakan batang besi bertindak merompak seorang guru wanita selepas memecah masuk ke sebuah banglo di Kota Sri Aman, Kubang Kerian di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada jam 4 pagi ketika mangsa berusia 37 tahun itu berada di rumah bersama anak perempuan berusia 11 tahun dan adik ipar perempuan berusia 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek yang tidak dikenali mengarahkan mangsa menyerahkan barang kemas yang dipakai.

“Suspek memakai pelitup muka, manakala salah seorangnya bersenjatakan sebatang besi berwarna merah selain bertutur loghat Kelantan.

“Suspek kemudian mengambil beg tangan bersama kunci kereta jenis Perodua Viva berwarna kelabu milik mangsa dan melarikan diri dengan kereta itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, perompak mengambil barangan kemas, wang tunai berjumlah RM1,100 dan dua telefon serta kad bank mangsa.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati suspek memecah masuk melalui tingkap bahagian belakang rumah kerana terdapat beberapa kesan umpilan pada tingkap tersebut.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kerugian belum dapat dipastikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kereta yang dilarikan turut dijumpai semula di satu kawasan di daerah Bachok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata,” katanya.