Lonjakan kuantum kuasa China

A
A
A

HANYA dalam tempoh seminggu, China telah mengejutkan dunia sebanyak dua kali.

Pertama, apabila misi mereka ke bulan berjaya mengutip dan membawa pulang dua kilogram batu dari bulan melalui prob Chang’e-5.

Kejayaan besar kedua China pula apabila saintis daripada University of Science and Technology of China berhasil mencapai Quantum Supremacy apabila membina sebuah komputer kuantum yang mampu melaksanakan pengiraan sebanyak 100 trilion kali ganda lebih laju daripada komputer super yang paling berkuasa hari ini.

Malah, prototaip komputer kuantum China itu 10 bilion kali ganda lebih laju berbanding mesin pertama yang mencapai status sedemikian milik Google.

Kedua-dua peristiwa dalam tempoh seminggu ini cukup signifikan dalam perkiraan trajektori kebangkitan kuasa China pasca-pandemik Covid-19 nanti.

Kejayaan misi Chang’e-5 menjadikan ‘Mimpi Angkasa Lepas’ China semakin hampir untuk disempurnakan.

China merancang untuk membina Stesen Angkasa Lepas mereka sendiri pada tahun 2022, seterusnya menghantar misi eksplorasi ke Musytari pada tahun 2029.

Modul angkasa lepas tersebut dilancarkan pada penghujung November lalu, mendarat di bulan pada Selasa minggu lalu, mengutip sampel batu bulan pada Rabu dan bertolak meninggalkan bulan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan misi Chang’e-5 itu berlaku dalam keadaan China masih belum memanfaatkan teknologi komputer kuantum mereka yang baru sahaja diterbitkan dalam jurnal Science.

Teknologi komputer kuantum yang dicapai China mampu merevolusi kehidupan manusia dalam pelbagai aspek daripada menyelesaikan masalah kesesakan lalu-lintas trafik sehinggalah kepada rawatan penyakit.

Namun, pakar telah memberi amaran bahawa teknologi sedemikian boleh mendatangkan ancaman besar ke atas sistem komunikasi, kewangan dan kerajaan yang diguna pakai saat ini.

Paling ketara, teknologi itu bakal mengimpak kekuasaan China, khususnya di Laut China Selatan nanti.

Kebetulan, Chang’e-5 dilancarkan dari Hainan, hampir dengan pangkalan tentera China tidak jauh di Laut China Selatan.

Lebih serius bagi kita, Asia Maritime Transparency Institute (AMTI) baru sahaja melaporkan bahawa dalam tempoh antara 1 Disember 2019 hingga 30 November 2020, China telah mengatur gerak kapal-kapal pengawal pantai mereka di Beting Patinggi Ali, Sarawak sebanyak 287 hari.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 mendedahkan China menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019. Lebih serius, semasa pandemik Covid-19, China bukan sahaja meningkatkan pencerobohan mereka, bahkan turut bertindak mengganggu operasi cari gali minyak dan gas di blok-blok minyak milik negara.

Dilaporkan bahawa kapal pengawal pantai China mengganggu drillship Borr Gunnlod, kapal Sapura Constructor di Blok SK410 yang dioperasi oleh syarikat PTT dari Thailand, Petronas Carigali dan KUFPEC.

Ia sama seperti apa yang dilakukan kapal-kapal pengawal pantai China dalam mengganggu operasi kapal West Capella yang di bawah kontrak oleh Petronas pada awal tahun ini.

Kita di Malaysia cukup mengetahui betapa benarnya realiti cubaan China untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai ‘empayar maritim’ mereka. Sejak 2012 lagi, kapal mereka mengancam kapal seismic survey Petronas, sejak 2013 pula mereka mengadakan latihan ketenteraan dan memacak bendera China di Beting Serupai.

Terkini, peristiwa ancaman kapal China ke atas kapal eksplorasi West Capella di bawah kontrak Petronas di dua blok penerokaan hidrokarbon kita iaitu Arapaima-1 dan Lala-1.

Dalam keadaan China semakin aktif mempersiapkan keupayaan teknologi angkasa lepas dan komputer kuantum mereka, manakala kapal-kapal mereka berterusan menceroboh serta cuba mengganggu-gugat operasi cari gali minyak kita, tidak seharusnya kita di Malaysia terus leka dan berpecah-belah sesama kita.

* Abdul Muen Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda