Agong, Permaisuri kurnia sumbangan kepada keluarga mangsa JKNP maut nahas

Tok Aria Rakna Ahmad Nurbadelin Abdul Murad (dua dari kanan) bersama Datuk Abdul Rahman Endut (kanan) bertanya khabar pada suami mangsa kemalangan Asmawi Yusoff, 45, ketika mengunjungi serta menyampaikan kurniaan peribadi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di kediamannya di Perumahan Dato Shah Bandar, Pekan hari ini.
Tok Aria Rakna Ahmad Nurbadelin Abdul Murad (dua dari kanan) bersama Datuk Abdul Rahman Endut (kanan) bertanya khabar pada suami mangsa kemalangan Asmawi Yusoff, 45, ketika mengunjungi serta menyampaikan kurniaan peribadi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di kediamannya di Perumahan Dato Shah Bandar, Pekan hari ini.
A
A
A

PEKAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan kepada waris dua kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya, Isnin lepas.

Al-Sultan Abdullah mengurniakan sumbangan itu menerusi pegawai khas Sultan Pahang, Tok Aria Rakna Ahmad Nurbadelin Abdul Murad dan Pegawai Khas (Kebajikan) Sultan Pahang, Datuk Abdul Rahman Endut yang berkunjung ke rumah ahli keluarga mangsa di sini hari ini.

Ahmad Nurbadelin semasa menyerahkan sumbangan itu turut menyampaikan salam dan ucapan takziah Seri Paduka Baginda, yang turut menasihatkan ahli keluarga agar terus bersabar dan tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.

Isteri kepada pemandu JKNP Mohd Zuhairi Abdullah, Nor Hayati Embong, 35, berkata, beliau amat terharu dan menjunjung kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap nasib beliau dan empat anaknya yang berusia antara sembilan hingga dua tahun.

"Tumpuan saya kini adalah untuk membesarkan anak dan memohon semua mendoakan supaya saya diberikan kesihatan yang baik demi anak-anak. Saya berhasrat pulang ke kampung di Kuala Terengganu, Terengganu dalam masa terdekat.

"Ada masanya anak bongsu bertanya di mana abah terutamanya pada waktu malam. Mungkin dia masih belum faham abahnya sudah tiada," katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat, pemandu kenderaan KKM maut nahas jalan raya

Bimbang WhatsApp tak berbalas, rupanya suami maut kemalangan

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, suami kepada jururawat Julayha Kudus, Asmawi Yusoff, 45, berkata, walaupun reda dengan pemergian ibu kepada empat orang anaknya, beliau masih tidak mampu untuk membayangkan kehidupan yang akan dilalui mereka selepas ini.

"Saya sedar, sebanyak mana kasih sayang saya kepada isteri, ALLAH lebih menyayanginya dan menjemputnya kembali semasa beliau sedang bertugas dan dalam perjalanan yang bertujuan baik.

"Saya menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda berdua dan akan menjaga anak sebaiknya. Mereka adalah harta dunia akhirat kami," katanya.

Pada Isnin lepas, Mohd Zuhairi, 35, dan Julayha, 39, maut selepas kenderaan Toyota Hilux dinaiki mereka dirempuh lori tangki yang terbabas dari laluan bertentangan di Kilometer 32, Jalan Pekan-Rompin berhampiran Tanjung Batu, di sini menyebabkan kenderaan milik Kementerian Kesihatan Malaysia itu remuk keseluruhan pada bahagian hadapan.

Seorang lagi mangsa yang turut terlibat dalam kemalangan itu ialah Dr Muhd Ikhwan Ramlee, 29, yang mengalami kecederaan parah di kepala.

Beliau kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Semasa kejadian, kesemua mangsa yang berkhidmat di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan dalam perjalanan ke Kampung Orang Asli Api Larat, di sini bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir ucapan takziah pemergian dua petugas KKM

Petugas kesihatan maut: Najib, Noor Hisham, MB Pahang ucap takziah