Benarkah Melayu tak boleh bersaing?

A
A
A

RAMAI rakan profesor saya di universiti awam bersetuju dengan ahli-ahli politik Melayu yang mengatakan Melayu tidak boleh bersaing lagi dengan orang-orang Cina. Contohnya, apabila dasar ekonomi baharu melewati jangka masa hayatnya, maka diperbaharuinya dasar itu. Sebabnya? Melayu tak boleh bersaing.

Baru-baru ini ada ahli Umno menyebutkan bahawa orang-orang Melayu yang dah kaya pun perlu bantuan kerajaan sebab orang Cina dah banyak yang lagi kaya. Apabila cadangan Tan Sri Arshad nak buka UiTM untuk bukan Melayu di peringkat pasca ijazah, beberapa bekas naib canselor dan yang menjawat jawatan itu sekarang, menolak pandangan perintis UiTM itu.

Apabila UEC dibangkitkan untuk pengiktirafan, mula-mula datang suara yang kata UEC tidak layak sebab kurikulumnya tidak memenuhi hasrat perpaduan negara, tetapi kini lain pula didendangkan; nanti ramai pula calon yang bersaing untuk kerja kerajaan dan Melayu ketinggalan sebab tidak boleh bersaing.

Kalau orang luar lihat isu ini maka kesimpulan mereka amat tertera; teruk benar orang Melayu ini sebab dah 60 tahun diberi keistimewaan masih lagi dikatakan tak boleh bersaing.

Saya kini berumur 57 tahun dan dah terbitkan 50 buah buku seni bina dan awam. Saya sudah menulis 200 entri ensiklopedia. Tidak ada kaum lain di Malaysia dalam bidang apa sekalipun yang boleh menyaingi saya. Saya telah menulis beratus-ratus rencana di media tempatan dan kini menjadi kolumnis dalam empat buah akhbar tempatan. Akhbar Cina cari saya! Saya tidak cari mereka. Saya anak Melayu. Kenapa tiada orang yang boleh menyaingi saya?

Mudah. Menulis itu satu ibadah. Saya menyaingi diri saya dan mencabar diri saya supaya sebelum meninggal dunia, saya ingin menyebar ilmu sebanyak mungkin agar ia dapat menjadi harta wakaf di dunia untuk pahala di akhirat. Itu saja. Tak ada jampi mantera Bomoh Malaysia. Saya tidak pernah ingin menyaingi dengan sesiapa baik dari sesuatu kaum di negara ini atau di luar. Orang yang menyaingi orang lain ternyata tidak ada falsafah hidup yang jelas dan kuat. Kenapa ukur kita dengan orang lain?

Tetapi saya mengakui bahawa apa yang saya lihat daripada Melayu lain, mereka ini memang tidak boleh bersaing dengan kaum lain mahupun dengan diri sendiri! Kenapa?

Pertama, isu ini adalah mainan politik murahan. Orang Umno baharu yang dah kaya-raya dan senang-lenang dengan berbilion-bilion ringgit hak anak-anak kita yang dah jadi darah daging haram mereka, amat suka mendendangkan lagu dan irama "Melayu Tak Boleh Bersaing Sampai Kiamat".

Artikel Berkaitan:

Kedua, profesor Melayu yang banyak lemak. Profesor Melayu amat suka mengiakan konsep Melayu tak boleh bersaing sebab dia malas berfikir, membaca dan menimba ilmu. Lagi dia kata Melayu tak boleh bersaing, lagilah dia dapat Melayu yang kurang cerdik, maka tak perlu dia bekerja keras. Nanti anak Cina masuk, banyak soalan nak tanya maka terpaksa pak profesor bekerja keras.

Sebenarnya, profesor begini telah lama selesa macam ular sawa kekenyangan. Nanti ada ahli akademik bukan Melayu yang hebat-hebat masuk UiTM dan bersaing dengannya, habislah dia tak naik pangkat! Rupa-rupa itu rahsianya. Pak profesor yang sebenarnya tak boleh bersaing. Bukan orang Melayu!

Ketiga, salah didikan agama Islam menjadi punca orang Melayu tak boleh bersaing. Ustaz-ustaz kita berkata bahawa menjadi orang Islam ni perlu banyak hal-ehwal haram halal.

Jadi Melayu tak boleh jadi pramugari dan pramugara, sebabnya alkohol. Melayu tak boleh kerja hotel sebabnya, tempat maksiat. Melayu tak boleh berkawan dengan orang bukan muhrim kerana bercampur gaul tu haram. Melayu tak boleh kain bajunya bercampur orang Cina sebab mereka ni jijik dan badan mereka kotor, maka haram mereka letak baju dalam laundromat kita.

Kalau pengajaran Islam macam ini, tuan-tuan, susahlah orang Melayu nak duduk luar di negara atau menjadi pemain global dalam apa jurusan sekalipun. Sifat ustaz bawah tempurung yang mengaji kitab beratus-ratus tahun yang tak pandai hidup moden berlambak di surau masjid kita. Kemudian bila Melayu ada banyak duit terkumpul diajaknya pergi umrah 10 kali. Bukankah baik sponsor Melayu lain untuk belajar dengan wang umrah yang 9 kali itu? Ustaz kata biar diri kita yang beribadat, lebih baik. Orang Melayu kaya-raya tetapi dana wakaf miskin.

Akhir sekali, orang Melayu sendiri tak kenal pemimpin yang jahat dan perasuah. Bagi orang Melayu pemimpin yang rasuah asalkan dia Melayu dan buat masjid dua tiga buah serta sponsor JKKK pergi haji, mereka ini sama malaikatlah baiknya. Dah ditunjuk beg Birkin berkoyan-koyan, jam tangan Rolex beratus-ratus serta peti wang pelbagai mata wang beratus juta masih lagi cium tangan pemimpin yang diselaputi rasuah. Macam mana nak bersaing, wahai orang Melayu. Pemimpin songlap harta anak-anak Melayu pun masih dinobatkan pemimpin.

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan