NGO redah hutan, sungai hantar bakul makanan

Walaupun berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu, namun itu bukan halangan kepada misi penghantaran bakul makanan.
Walaupun berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu, namun itu bukan halangan kepada misi penghantaran bakul makanan.
A
A
A

KUALA KRAI - Menaiki feri, meredah hutan dan laluan berliku berpuluh kilometer (km) dengan menyusuri tepian Sungai Nal menjadi 'mainan' biasa bagi Persatuan Kebajikan Komuniti India Kuala Krai dalam usaha menyantuni masyarakat yang tinggal di beberapa kampung di Pasir Kelang di sini.

Usaha tersebut dilakukan bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk di kawasan itu terutamanya bekalan makanan bila tibanya musim tengkujuh.

Pengerusinya, Muhammad Jaya Murugan Abdullah berkata, rata-rata penduduk di kampung tersebut adalah penoreh getah dan mereka akan mengalami masalah tidak dapat keluar menoreh bila tibanya musim tengkujuh.

Oleh sebab itu, menurutnya, pihaknya cuba mencari jalan penyelesaian bagi memastikan masyarakat tidak terputus bekalan makanan memandangkan mereka terpaksa melalui jalan berliku sepanjang lebih 4km untuk keluar ke bandar.

"Bukan sahaja melalui jalan berliku, malah terpaksa menyeberangi sungai untuk ke pekan Tanah Merah dan Kuala Krai. Bukan mudah terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai kereta dan sebagainya, tambahan pula musim hujan, memang mereka berdepan pelbagai kesukaran.

"Kami pun perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke kampung berkenaan memandangkan laluan agak mencabar tambahan lagi sekarang musim hujan.

"Walau apa pun halangan, kami lalui juga untuk hantar bakul makanan supaya dapat membantu mereka, inilah tanggungjawab yang kami pikul," katanya ketika menyampaikan bantuan kepada masyarakat India di Kampung Ladang Taku semalam.

Artikel Berkaitan:

Bukan hanya masayarakat India, namun komuniti Melayu juga menjadi keutamaan NGO tersebut untuk dibantu dalam pelbagai skop.
Bukan hanya masayarakat India, namun komuniti Melayu juga menjadi keutamaan NGO tersebut untuk dibantu dalam pelbagai skop.

Program agihan makanan NGO tersebut turut disertai Penggawa Daerah Batu Mengkebang, Sun Najman Muhammad dan dua pegawai dari Majlis Keselamatan Negara.

Mengulas lanjut, Jaya berkata, sumbangan makanan itu merupakan aktiviti wajib NGO tersebut dan diadakan secara berkala setiap tiga kali setahun.

Malah katanya, ia turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri terutamanya Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, salah seorang penduduk yang juga masyarakat India di Kampung Ladang Taku, Logeswary AP Parasuman, 35, berkata, dia sekeluarga pernah terkepung di kampung tersebut selepas laluan utama untuk keluar ke bandar ditenggelami air.

"Sebelum ini pun banyak kali laluan utama ke pekan dipenuhi air. Kami terpaksalah bergantung kepada apa sahaja makanan yang ada di rumah sebab tidak boleh keluar.

"Sebab itulah kami sangat menghargai bantuan daripada pihak kerajaan mahupun NGO terutamanya pada musim tengkujuh ini. Kami menoreh saja, gaji pun RM90 saja, cukup-cukup makan. Kalau hujan, tidak kerja," katanya.