Ahli perniagaan didakwa terima wang deposit RM93,000 tanpa lesen

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang deposit daripada seorang pengarah sebuah kolej swasta berjumlah RM93,000, tanpa lesen yang sah, tahun lepas.

Hamidah Musa, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Wanita itu didakwa menerima wang deposit daripada Muhammad Sabri Md Rawi, 60, berjumlah RM93,000 tanpa suatu lesen yang sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), di kaunter CIMB Bank, Cawangan Menara CIMB Bank Kuala Lumpur, Brickfields, di sini pada jam 4.21 petang, 29 Julai 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahmad Kamal Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari 2021 untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin sementara tertuduh diwakili peguam, Vinod Sharma. - Bernama

Artikel Berkaitan: