ADUN Pas, Bersatu hantar SD sokong MB baharu

Razman (tengah) bersama Mohd Akmal (kiri) dan Khalil selesai menghadap Sultan Perak di Istana Kinta hari ini.
Razman (tengah) bersama Mohd Akmal (kiri) dan Khalil selesai menghadap Sultan Perak di Istana Kinta hari ini.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta hari ini untuk menghantar akuan bersumpah (SD) bagi menyokong pelantikan Menteri Besar Perak baharu.

Kenderaan ketiga-tiga wakil Pas terdiri daripada ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria bersama dua wakil rakyat Pas, Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) tiba pada jam 4.23 petang sebelum keluar kira-kira 20 minit kemudian.

ADUN Bersatu terdiri daripada ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri turut tiba bagi tujuan sama.

Terdahulu, Razman ketika ditemui berkata, pertemuan dengan baginda bagi menzahirkan keputusan yang dicapai dalam satu mesyuarat yang melibatkan pucuk pimpinan Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Pas.

“Kita telah pun mendapat satu kata sepakat oleh pucuk pimpinan kita dan kita di peringkat negeri menzahirkan apa yang diputuskan oleh ketiga-tiga presiden.

“Kita sudah tandatangan SD dan tunggu pengesahan pihak istana. Kita cuma membawa mandat yang diputuskan oleh ketiga-tiga presiden kepada tuanku,” katanya.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, pihaknya menghantar lima SD membabitkan tiga ADUN Bersatu, ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam.

“Saya bersama tiga orang wakil daripada Bersatu Perak dan juga ADUN Bebas telah pun menyerahkan SD kami kepada tuanku.

Artikel Berkaitan:

“Kami membuat keputusan ini berdasarkan persefahaman di peringkat Pusat oleh Presiden Bersatu, UMNO dan Pas. Jadi itulah keputusan kami sembah maklumkan kepada tuanku sebentar tadi,” katanya.

Ditanya mengenai SD daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Zainol berkata, ADUN Chenderiang itu akan menghadap Sultan Nazrin kemudian.

“Beliau berada di Parlimen bagi Sidang Rakyat. Ini arahan Ahmad Faizal sebagai Ketua Bersatu Perak dan menyatakan sokongan kepada keputusan yang dibuat Presiden parti kami dalam Perikatan Nasional,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin perkenan Saarani sebagai MB Perak

Krisis di Perak: Muhyiddin, Abdul Hadi bertemu petang tadi