X

Kindly register in order to view this article
!

Kemelut politik Perak akhirnya selesai

Kenyataan bersama UMNO, Bersatu dan Pas yang dikeluarkan hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kemelut politik di Perak akhirnya selesai di meja rundingan apabila ketiga-tiga pemimpin utama dalam penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu mencapai kata sepakat.

Ia dimaklumkan dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang dikeluarkan hari ini.

"Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) disertai sama Setiausaha Agung-Setiausaha Agung ketiga-tiga parti pada hari ini telah mengadakan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan negeri Perak.

"Dalam perbincangan ini, Pengerusi BN telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.

"Atas semangat pemuafakatan PN ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan Yang Berhormat Datuk Haji Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, mereka turut memaklumkan bahawa perbincangan itu juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.

"Ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan PN di negeri Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat," kata mereka.

Terdahulu, Pas sebelum ini menetapkan tidak mahu melibatkan diri dalam pembentukan kerajaan negeri baharu Perak susulan penyingkiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar menerusi undi percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak minggu lalu.

Usul itu dibentangkan oleh UMNO, namun 24 daripada 25 ADUN parti itu menolak Ahmad Faizal, sekali gus memaksanya meletak jawatan dan menimbulkan tanda tanya mengenai nasib kerajaan negeri itu.

UMNO menuntut jawatan itu malah turut dilaporkan meraih sokongan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan namun ADUN UMNO dan DAP dikatakan telah menolak kerjasama itu.

Berikutan itu Ahmad Zahid berkata, UMNO sudah memperoleh sokongan majoriti terhadap calonnya untuk jawatan Menteri Besar Perak dan ketika itu Saarani adalah calon yang diuar-uarkan.

Bagaimana Istana Perak mengumumkan petang semalam, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum diyakinkan mana-mana pihak memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!