X

Kindly register in order to view this article
!

Kudrat tua stamina tinggi

Ikatan ukhuwah antara besan bukan sahaja dalam keluarga, namun dipupuk hingga ke pertandingan kayuh perahu.
A
A

TUMPAT - Ikatan ukhuwah antara besan bukan sahaja dalam keluarga, namun dipupuk hingga ke pertandingan kayuh perahu.

Walau pun sekadar suka-suka, namun pertandingan kayuh perahu ini menjadi hubungan lima besan semakin akrab.

Menggelarkan pasukan mereka sebagai Tok Besan, gabungan tenaga lima lelaki separuh abad ini mampu menundukkan pasukan lawan.

Dengan kudrat tua mereka tetapi mempunyai stamina tinggi membuatkan mereka berjaya mendayung perahu kolek hingga ke garisan penamat.

Besan paling berusia, Syafie Salleh, 73, berkata, pertandingan kayuh perahu ini memerlukan tenaga yang banyak.

“Kalau dah berusia dan banyak penyakit belum tentu dapat mendayung sampai ke garisan penamat,” katanya.

Syafie Salleh
Syafie Salleh

Menang atau kalah bergantung kesefahaman kemudi

Bagi Syafie, itu tidak menjadi masalah baginya kerana dia adalah nelayan dan sudah mahir selok belok mendayung perahu.

Katanya, dia bersama empat besannya membuat latihan selama tiga hari untuk mencari rentak dan kesefahaman antara pendayung.

“Nak dayung perahu ini tak ada masalah sebabnya semua dah biasa turun ke sungai menangkap ikan.

“Namun untuk bertanding kayuh perahu ini perlu ada kesefahaman, rentak mendayung kena sama hatta gaya angguk kepala pun kena serentak.

“Dari situ tenaga pendayung kena bersatu membawa perahu hingga ke garisan penamat.

“Menang atau kalah bergantung kepada kerjasama, kesefahaman mengemudi perahu ini,” katanya.

19 pasukan berentap

Pasukan Tok Besan antara 19 pasukan yang bertanding sempena kayuh perahu kolek terbuka Kelantan di Kampung Pak Jah di sini.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu lelaki terbuka, kategori wanita dan kategori veteran berumur 60 tahun ke atas.

Program yang dianjurkan oleh Pemuda Kampung Kelong dan Kilang Keropok Abe Kie Mak Wan Tanjung Kuala itu meriah apabila diiringi dengan muzik tradisional sekali gus menaikkan semangat pendayung yang perlu menamatkan kayuhan sejauh 200 meter.

Manakala kategori wanita dimenangi oleh pasukan Permaisuri dari Kampung Kelong.

Walau pun kayuh perahu didominasikan oleh lelaki tetapi wanita di Kampung Kelong ini mempunyai kebolehan luar biasa.

Wakil kumpulan itu, Zainun Shafie, 52, berkata, dia mengambil cuti bekerja sebagai upah membungkus nasi untuk menyertai pertandingan ini.

“Kami dah biasa mendayung perahu kerana selalu turun ke sungai menangkap ikan.

“Saya sendiri sejak sebelum kahwin lagi sudah membantu ayah menangkap ikan di sungai,” katanya.

Pertandingan kayuh perahu jadi tradisi

Penganjur, Zamri Shafie, 42, berkata, pertandingan kayuh perahu sudah banyak kali diadakan namun tahun ini terbuka kepada peserta dari kampung lain.

“Sudah menjadi tradisi Kampung Pak Jah dan Kelong ini mengadakan pertandingan kayuh perahu.

“Ia diadakan dengan meriah sekali dan kali ini kita buka kepada penyertaan di kampung lain,” katanya.

Menurutnya, tahun ini juara keseluruhan dibolot oleh peserta dari Kampung Kelong apabila menang dalam kesemua kategori dipertandingkan itu.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus