Revolusi 4.0 bakal cipta banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi

Industri 4.0 beri peluang kepada negara lahirkan generasi pekerja baharu dan boleh gunakan teknologi baharu dalam sektor perkilangan dan perindustrian. - Foto 123RF
Industri 4.0 beri peluang kepada negara lahirkan generasi pekerja baharu dan boleh gunakan teknologi baharu dalam sektor perkilangan dan perindustrian. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Revolusi industri 4.0 (Industri 4.0) yang sedang rancak dibangunkan oleh kerajaan bakal mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu pada masa hadapan berbanding menyebabkan pengangguran yang tinggi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, Industri 4.0 memberi peluang kepada negara untuk melahirkan generasi pekerja yang baharu dan boleh menggunakan teknologi baharu dalam sektor perkilangan dan perindustrian.

“Ia juga akan menambah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang memetik laporan McKinsey Global Institute (MGI) yang menyatakan bahawa revolusi Industri 4.0 bakal menyebabkan sekitar 75 juta sehingga 375 juta tenaga kerja dunia digantikan oleh robot dan seumpamanya menjelang 2030.

Menurut Ban Hong, bagi Malaysia, tenaga kerja yang digantikan dalam industri adalah tenaga buruh yang mana negara bergantung sebahagian besarnya kepada buruh asing buat masa ini.

“Industri 4.0, walaupun kita nampak penggunaan teknologi dalam industri perkilangan, perkhidmatan dan lain-lain tetapi ia juga akan mencipta kerja-kerja (baharu) yang berkemahiran tinggi.

“Di mana kita nampak hala tuju pembangunan negara kita pada masa hadapan dalam sektor perkilangan dan pembangunan industri, kita menuju kepada mendapatkan pelaburan berteknologi tinggi serta kita berharap pekerja-pekerja dalam bidang ini akan mempunyai pendapatan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, peralihan kepada Industri 4.0 akan meningkatkan permintaan terhadap kumpulan sumber tenaga berkemahiran tinggi berteraskan teknologi yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Artikel Berkaitan:

Selain meningkatkan produktiviti, kecekapan kos, pengukuhan keupayaan inovasi dan pembangunan teknologi tempatan, dasar ini juga katanya, menyediakan kerangka ke arah melahirkan tenaga mahir bagi pekerjaan-pekerjaan yang diwujudkan.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha melalui program dan inisiatif termasuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Kerja Industry4WRD atau TWG-S yang diletakkan di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melaksanakan inisiatif memperkukuhkan tenaga mahir sedia ada dan melahirkan tenaga kerja baharu pada masa hadapan.

Kerajaan juga, katanya, telah memperkenalkan dua program khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu Readiness Assessment (RA) dan Industry4WRD Intervention Fund (Dana Intervensi) untuk membantu mereka dalam transformasi Industri 4.0.

“Bagi tempoh 2019 hingga 2020, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM22 juta untuk melaksanakan program RA yang turut merangkumi latihan untuk penilai-penilai RA, Industry4WRD Summit, program seranta Industry4WRD dan lain-lain.

“MITI telah mencapai sasaran dalam pelaksanaan program RA bagi 2019 apabila sebanyak 508 syarikat PKS telah menyertai program ini, manakala bagi 2020 pula, kerajaan menyasarkan sebanyak 373 syarikat PKS mengikuti program RA ini,” katanya.

Setakat ini, Ban Hong berkata, sebanyak 808 PKS telah dipilih untuk menjalani program RA manakala bagi Dana Intervensi pula, sejumlah RM35 juta telah diperuntukkan pada 2019 dan 2020 meliputi kos latihan kemahiran, penambahbaikan proses pembuatan serta aplikasi teknologi industri 4.0 oleh syarikat.

Kesemua syarikat PKS yang telah menjalani program RA dibiayai oleh kerajaan layak memohon Dana Intervensi menerusi permohonan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Sehingga November 2020, sebanyak 138 permohonan Dana Intervensi telah diterima dan 63 syarikat PKS telah diluluskan dengan geran padanan tersebut,” katanya.- Bernama