Kerajaan Pahang perkenal dua laman web

Mohammad Fakhruddin pada sidang akhbar pengenalan dua laman web iaitu app.PahangGo.com dan pelandigital.PahangGo.com. di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.
Mohammad Fakhruddin pada sidang akhbar pengenalan dua laman web iaitu app.PahangGo.com dan pelandigital.PahangGo.com. di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang hari ini memperkenalkan dua laman web iaitu app.PahangGo.com dan pelandigital.PahangGo.com.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi Dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, laman web app.PahangGo.com menempatkan perkhidmatan yang ada di aplikasi mobile PahangGo antaranya pembayaran cukai tanah, bil utiliti dan lain-lain.

Menurutnya pelandigital.PahangGo.com pula ialah platform untuk orang ramai dan syarikat swasta memberikan maklum balas berhubung pelan digital negeri Pahang 2021 yang sedang dirangka oleh kerajaan Pahang.

"Laman web PahangGo dibuat bagi memudahkan pengguna yang tidak mempunyai akses telefon pintar. Mereka yang telah mempunyai aplikasi pula boleh mendaftar menggunakan maklumat pendaftaran yang sama dengan aplikasi mobile.

"Ia turut memaparkan sejarah transaksi yang dapat dilihat dan dimuat turun sebagai rujukan pengguna. Laman web pelan digital pula dibina bagi mengalu-alukan orang ramai mengemukakan pendapat mereka kerana kerajaan percaya cadangan rakyat sangat penting untuk kerajaan merangka pelan digital yang terbaik untuk rakyat Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengenalan dua laman web tersebut di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Fakhruddin berkata, aplikasi mobile PahangGo mencatatkan sejumlah 140 ribu pengguna sejak diperkenalkan Ogos tahun lalu.

"Ia mencatat peningkatan drastik. Jumlah purata rakyat memuat turunnya ialah 7,000 pengguna sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil kerajaan yang diperoleh daripada perkhidmatan yang ditawarkan PahangGo pula ialah RM800 ribu sebulan. Ia diperoleh menerusi kutipan cukai tanah, cukai pintu, bil utiliti, pembelian tambah nilai telefon, bayaran parkir, pembelian barangan secara dalam talian dan sebagainya.

Beliau berkata, aplikasi PahangGo banyak membantu kerajaan Pahang mencipta sumber pendapatan baharu melalui teknologi digital.

Jelasnya, ini menjadikan PahangGo aplikasi mobile pertama di Malaysia yang mempunyai fungsi menggabungkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di setiap daerah, syarikat, institusi pengajian tinggi (IPT) serta maklumat berita di Pahang untuk ditawarkan kepada rakyat.

"Bagi saya, PahangGo adalah peneraju transformasi digital ekonomi bagi negeri Pahang dan kini aplikasi ini adalah landasan yang terbaik teknologi digital," katanya.