Geng Ho Kia aktif curi kenderaan, pecah rumah tumpas

Antara peralatan dan barang yang dirampas pihak polis menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar kawasan Johor Bahru semalam.
Antara peralatan dan barang yang dirampas pihak polis menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar kawasan Johor Bahru semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan Geng Ho Kia yang aktif melakukan curi kenderaan dan pecah rumah menerusi tiga serbuan berasingan sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di kawasan Johor Bahru dan Ulu Tiram bermula jam 1 tengah hari hingga 7 petang.

"Dalam serbuan tersebut, polis berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun yang merupakan ahli Geng Ho Kia. Mereka bergiat aktif mencuri kenderaan dan pecah rumah sekitar Johor Bahru.

"Hasil tangkapan membawa kepada rampasan dua buah kereta dan pelbagai peralatan yang tajam seperti kuku kambing, pemutar skru dan parang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan pecah rumah. Nilai semua rampasan sebanyak RM80,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi kumpulan tersebut adalah melakukan pecah rumah pada waktu siang dengan menggunakan kuku kambing.

Salah sebuah kereta yang dirampas pihak polis menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar kawasan Johor Bahru semalam.
Salah sebuah kereta yang dirampas pihak polis menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar kawasan Johor Bahru semalam.

"Suspek juga akan melarikan kenderaan mangsa sekiranya terdapat kunci yang ditinggalkan di rumah.

"Kumpulan ini bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dan semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah serta kes dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua suspek direman empat hari sehingga 12 Disember ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan mencuri kenderaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323," katanya.