Koleksi lama jana pendapatan

Pok Hassan menunjukkan salah satu hasil kraf berasaskan buluh yang dijualnya di Pasar Besar Kuala Berang selain pelbagai jenis barang-barang lama.
A
A

KUALA BERANG - Bermula daripada minat kumpul barang-barang lama atau antik sejak sekian lama kerana nilai sentimental tersendiri, kini koleksi dimiliki itu menjadi cabang sumber pendapatan.

Hanya ingin dikenali sebagai Pok Hassan, 40-an, peniaga berasal dari Manir, Kuala Terengganu ini turut menjadikan premis jualannya sebagai pusat pengumpulan produk-produk orang kampung.

Tidak hairanlah premis yang tawarkan lebih 50 produk punyai nilai estetika terletak di Pasar Kuala Berang ini jadi tumpuan peminat barang lama dan seni kraf khususnya berasaskan kayu.

Berkongsi cerita, Pok Hassan berkata, lot premis itu ‘diwarisi’ daripada ayahnya sejak tiga tahun lalu dan sebelum ini perniagaan utama diusahakan di situ ialah beras serta tembakau sebagai sampingan.

“Sekarang ini beralih sepenuhnya kepada barang-barang lama serta produk orang kampung termasuk hasil kraftangan berasaskan kayu serta buluh. Antaranya gambir, tembakau, bubu serta serkup.

“Barang-barang lama yang ada ini kebanyakannya koleksi saya sendiri sejak sekian lama kerana hobi kumpul benda ini sejak dulu. Salah satunya beliung yang dianggarkan berusia 300 tahun.

“Tidak semua koleksi barang lama yang saya ada sedia untuk dijual kerana begitu sayang. Barangan terdapat di kedai ini cuma sebahagian sahaja dan ada juga kawan-kawan hantar ke sini suruh saya jual,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, hanya peminat barang lama sahaja memahami nilai estetika pada satu-satu barangan sehingga ada yang sanggup keluarkan sejumlah wang untuk mendapatkannya.

Pok Hassan berkata, produk tersebut bukan sahaja diperoleh di setiap daerah dalam negeri ini tetap juga di luar Terengganu termasuk di Perak.

“Kebanyakan pelanggan yang datang ialah orang luar bukannya komuniti setempat di Kuala Berang ini dan antara yang mendapat sambutan ialah labu sayung serta ukiran kayu.

“Mungkin kerana jarang dapat ditemui premis yang menjual koleksi barang lama bersama-sama produk orang kampung ini, ia memberikan satu daya tarikan tersendiri kepada banyak pihak.

“Saya tidak sangka koleksi barang lama dimiliki kini jadi sumber pendapatan. Ada juga yang datang sekadar melihat kerana merasakan premis ini seperti sebuah mini galeri,” ujarnya.

Tambah Pok Hassan, premis yang disewa daripada Majlis Daerah Hulu Terengganu itu dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 3.30 petang.