Pas perlu buktikan artikel Sarawak Report itu fitnah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas perlu membuktikan rencana Sarawak Report adalah fitnah, untuk membersihkan imej mereka daripada sebarang spekulasi.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, daripada perspektif guaman, penarikan saman yang dilakukan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown ini bukanlah perkara luar biasa malah tiada istilah yang 'menang' atau 'kalah'.

Menurut beliau, tindakan tarik balik saman itu menimbulkan spekulasi, jadi sewajarnya Pas mengemukakan bukti bahawa rencana siaran Sarawak Report tersebut adalah fitnah atau tidak.

“Kerana buat masa ini, rencana Sarawak Report itu tidak dibuktikan sebagai suatu siaran fitnah terhadap Pas,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Mat Sabu dedah terima mesej kecewa ahli Pas

Menurut beliau, oleh kerana tindakan saman itu diambil oleh Abdul Hadi , maka apa yang perlu ditentukan di mahkamah sekiranya bicara diteruskan ialah sama ada rencana Sarawak Report itu memfitnah, dan bukannya sama ada ianya betul atau tidak.

“Secara politik keputusan menarik balik saman terhadap Clare ini akan menguatkan teori bahawa terdapatnya kerjasama di antara Pas dan BN pra PRU14.

“Orang akan bertanya, mengapa Pas sanggup tarik balik tuntutan terhadap Clare jika mereka yakin mereka akan menang. Apatah lagi di United Kingdom, pihak yang kalah mesti juga membayar kos guaman kepada pihak yang menang. Maka jika koslah isunya, ia seperti tidak munasabah,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut Syahredzan lagi, pengakuan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak pernah meyalurkan wang sejumlah RM90 juta ke akaun Pas mahupun Presiden parti Islam itu tetap gagal memulihkan imej Pas.

“Saya tidak rasa Najib boleh membantu sesiapa, sekalipun untuk memulihkan imej Pas,” katanya.