MOTAC perlu pantau lambakan iklan pelancongan agen tanpa lesen

Mohd Khalid Harun
Mohd Khalid Harun
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) perlu memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap lambakan iklan pelancongan di media sosial daripada pihak yang tidak mempunyai lesen untuk mengelakkan kerugian kepada pengguna.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, beliau menyokong penuh pelaksanaan penjualan pakej umrah oleh syarikat pengendali umrah berlesen yang diusulkan oleh MOTAC.

Menurutnya, MOTAC perlu membantu syarikat pengendali umrah berlesen untuk mengiklankan pakej mereka tanpa mengambil wang deposit bagi membantu mereka bangkit kembali pada pasca-Covid-19 ini.

Mohd Khalid juga meminta MOTAC meneliti pemberian baucar pelancongan melalui Shopee yang telah mengetepikan peranan syarikat pelancongan berlesen kerana pengguna boleh terus membeli bilik penginapan daripada platform yang tidak mempunyai lesen pelancongan.

“Pemberian baucar oleh MOTAC kepada Shopee ini boleh merencatkan kitaran industri pelancongan yang selama ini diperjuangkan oleh MOTAC sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khalid juga merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri kerana mendapatkan kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa yang membantu industri pelancongan negara yang kini tenat.

Beliau menyambut baik pengumuman kebenaran rentas negeri dan daerah yang diberikan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang mana dapat membantu ahlinya merancang pakej pelancongan serta merancakkan sektor pelancongan domestik.

“Kami berharap semua pihak dapat terus menjaga SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melancong dengan lebih bertanggungjawab bagi memastikan Covid-19 dapat kita perangi,” katanya.

Artikel Berkaitan: