Sabah komited banteras rasuah

Hajiji menyampaikan amanat khas sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah Tahun 2020 di PPNS yang disiarkan secara maya menerusi YouTube hari ini.
Hajiji menyampaikan amanat khas sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah Tahun 2020 di PPNS yang disiarkan secara maya menerusi YouTube hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited dalam usaha membanteras gejala rasuah dan mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi serta berintegriti di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi merealisasikan perkara itu, sistem dan prosedur semua agensi perkhidmatan awam negeri perlu dikaji agar tiada peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan di masa hadapan.

"Saya dimaklumkan, berdasarkan hasil kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa rakyat atau masyarakat di Sabah telah menzahirkan 93.3 peratus sokongan dan 83.4 peratus keyakinan terhadap usaha pencegahan rasuah di negeri ini.

"Peratusan yang tinggi ini memperlihatkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini.

"Berdasarkan kajian ini juga, menunjukkan Sabah antara yang terbaik dalam kesungguhan membanteras rasuah dan secara keseluruhan, berdasarkan kajian yang sama di peringkat nasional menunjukkan bahawa rakyat negara ini menzahirkan 86.9 peratus (sokongan) dan 75.7 peratus (keyakinan) ke atas usaha pencegahan rasuah di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah Tahun 2020 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Sebagai Ketua Pentadbiran di Sabah, Hajiji turut menyarankan agensi negeri dan Persekutuan supaya memperbanyakkan lagi kempen pemantapan integriti dalam kalangan rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

Hajiji menyampaikan amanat khas sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah Tahun 2020 di PPNS yang disiarkan secara maya menerusi YouTube hari ini.
Hajiji menyampaikan amanat khas sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah Tahun 2020 di PPNS yang disiarkan secara maya menerusi YouTube hari ini.

"Bagaimanapun, kempen menyebar luas mesej anti rasuah turut digembleng oleh badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah ini, khususnya kepada belia yang mana mengikut kajian SPRM baru-baru ini menunjukkan daripada keseluruhan responden yang dikaji sebanyak 55 peratus golongan ini terbabit rasuah di negara ini.

"Angka ini amat merisaukan kita memandangkan mereka adalah pewaris pemimpin negara pada masa hadapan. Saya percaya agensi kerajaan negeri akan memberikan komitmen yang tinggi terhadap usaha pencegahan rasuah.

"Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga memainkan peranan yang penting dalam menjana ekonomi negeri dan mengelak ketirisan, penyelewengan, salah guna kuasa serta rasuah daripada berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, pelbagai usaha mempergiatkan tindakan penguatkuasaan oleh agensi penguat kuasa perlu diteruskan bagi membendung kegiatan dan sindiket penjenayah yang membawa kesan kepada isu keselamatan, kerugian subsidi barangan, penyeludupan, gejala dadah serta rasuah di negeri ini yang turut didalangi pihak tertentu.

"Saya menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada SPRM dalam menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di negeri ini.

"Saya juga ingin mengingatkan mengenai Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada Januari tahun lalu. Ia penting kerana di bawah NACP ini, ada beberapa objektif yang menjadi keutamaan dalam usaha menangani gejala rasuah antaranya mewajibkan sektor awam mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP)," katanya.

Terdahulu, Hajiji turut mengingatkan bahawa menjaga kerahsiaan dokumen dan maklumat rahsia rasmi kerajaan adalah tanggungjawab serta amanah semua penjawat awam di negeri ini.

"Sehubungan itu, saya mengingatkan semua agar sentiasa mengambil perhatian ke atas langkah keselamatan dokumen atau maklumat agar ia tidak disalah guna atau didedahkan tanpa kebenaran.

"Gejala negatif ini boleh menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri. Kerjasama semua ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini amat penting dan saya tidak mahu perkara seperti ini berlaku," katanya.