Covid 19: Rakyat susah, masjid bantu

Ismail (hadapan, tengah) dan AJK Masjid Al-Hanan Simpang Empat Tendong, Pasir Mas bersama penerima bantuan Covid-19.
Ismail (hadapan, tengah) dan AJK Masjid Al-Hanan Simpang Empat Tendong, Pasir Mas bersama penerima bantuan Covid-19.
A
A
A

PASIR MAS - Hampir 10 bulan rakyat di negara ini terkesan dengan serangan pandemik Covid-19 sehinggakan ada dalam kalangan mereka hilang pekerjaan.

Lantaran itu, Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Masjid Al-Hanan Simpang Empat Tendong mengambil inisiatif dengan mengeluarkan wang daripada tabung kebajikan bagi membantu meringankan beban penduduk di mukim berkenaan yang terjejas dengan Covid-19.

Imam satu Ismail Ibrahim berkata, ini merupakan kali kedua pihaknya tampil menghulurkan bantuan kepada anak mukim yang terjejas.

"Setiap penerima kita berikan sumbangan berupa barangan keperluan harian yang bernilai RM60.

"Nilainya tidak besar, tetapi mereka dapat teruskan kehidupan dengan meletakkan kebimbangan di tepi buat seketika.

"Besar harapan kita agar sumbangan ini dapat memberikan kegembiraan buat mereka untuk berdepan ujian Covid-19 ketika ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 100 keluarga menerima sumbangan yang membabitkan peruntukan berjumlah RM6,000.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk meneruskan bantuan itu dari masa ke masa berpandukan kepada situasi semasa Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ismail berkata, pihak masjid mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menyediakan dana dalam menggerakkan usaha ini.