Perdamaian PN di Perak perlu dipercepatkan: Razali

Rakaman gambar pertemuan di pejabat Hamzah di Parlimen dikongsi Takiyuddin di Facebooknya hari ini. Gambar kecil: Razali Idris
Rakaman gambar pertemuan di pejabat Hamzah di Parlimen dikongsi Takiyuddin di Facebooknya hari ini. Gambar kecil: Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Perdamaian kepada situasi politik di Perak perlu dipercepatkan demi kepentingan rakyat, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris.

Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, apa yang penting adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu diperkukuhkan demi kesatuan Melayu Islam dan pribumi sebagai asas perjuangannya.

"Sikap ego, tamak dan ‘abang besar’ wajib dihapuskan, manakala Bersatu, UMNO dan Pas perlu kuat dengan gabungan parti-parti Bumiputera Sabah dan Sarawak," katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan menulis dan menghantar surat kepada rakan sejawatnya dalam Bersatu dan Pas agar mempertahankan kerajaan PN di Perak.

Usaha yang dilakukan UMNO di tengah-tengah kemelut politik di Perak itu dilihat sebagai membuka jalan untuk berdamai dengan Bersatu supaya dapat meneruskan kerajaan PN di negeri berkenaan.

Hari ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa pula mengadakan pertemuan enam mata bagi mencari jalan keluar daripada kekusutan politik yang sedang membadai mutakhir ini.

Rakaman gambar pertemuan yang diadakan di pejabat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen itu dikongsi Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Pas arah ADUN menghadap Sultan Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak titah semua ADUN Bersatu, Pas menghadap

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, semua agama dan ketamadunan menganjurkan konsultasi atau musyawarah.

“Tiada kusut yang tak boleh dirungkai. Carik bulu ayam akhirnya bercantum jua. Pemimpin adalah cerminan rakyatnya. Bersatulah BN dan Perikatan Nasional (PN) demi rakyat,” kata Takiyuddin di laman Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, mengambil pendekatan bermesyuarat dan berunding dalam menyelesaikan suatu perkara adalah sunnah Nabi SAW dan perlu diperbanyakkan ketika berlaku perselisihan.

"Justeru ‘surat damai’ diserahkan UMNO yang disusuli dengan pertemuan itu amat dialu-alukan tetapi perlu dengan penuh kesedaran di atas keterlanjuran," katanya.

Razali menjangkakan ada terma-terma baharu yang perlu dipersetujui secara bersama supaya kepimpinan baharu Perak menjadi lebih sempurna.

Bagaimanapun, katanya, agenda paling besar adalah kemenangan lebih 2/3 majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Maka sudah pasti usaha mendamaikan jauh lebih susah berbanding dengan menghasut dan mengadu domba," katanya.