Keputusan kes kebun haram durian Raub tangguh 23 Disember

CHOON JERN
CHOON JERN
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 110 pekebun durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka pada 23 Disember ini.

Penangguhan itu dibuat Hakim, Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi memberi laluan kepada kedua-dua pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva menyelesaikan pengurusan kes.

Menurutnya, mahkamah juga perlu meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lepas untuk menggunapakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan sama yang difailkan 94 lagi pekebun.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Pada prosiding hari ini, Choon Jern dan Brendan memaklumkan kepada mahkamah pihaknya telah menulis kepada Jabatan Peguam Negara satu persetujuan bahawa keputusan mahkamah bagi permohonan 110 plaintif terpakai untuk permohonan 94 yang lain.

Sebahagian ahli PVATM berkumpul secara aman di hadapan Kompleks Mahkamah Kuantan hari ini bagi memberikan sokongan terhadap institusi kehakiman.
Sebahagian ahli PVATM berkumpul secara aman di hadapan Kompleks Mahkamah Kuantan hari ini bagi memberikan sokongan terhadap institusi kehakiman.

Menurutnya, persetujuan itu dibuat oleh pihaknya dan peguam negara dan satu surat telah dikemukakan kepada pihak mahkamah bagi memaklumkan perkara tersebut.

Bagi tujuan pengurusan permohonan itu, mahkamah terpaksa menangguhkan keputusan pendengaran kes yang difailkan 110 pekebun terdahulu yang sepatutnya diputuskan hari ini.

Choon Jern turut memohon mahkamah melanjutkan tempoh penggantungan sementara notis pengosongan tanah tersebut sehingga Januari kerana sebilangan pekebun menerima notis sama daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) yang mengarahkan pengosongan dibuat selewat-lewatnya Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan ia tidak perlu dilanjutkan memandangkan tarikh keputusan ditetapkan Disember ini.

Sementara itu, di pekarangan mahkamah lebih 100 ahli Pertubuhan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) berhimpun bagi memberikan sokongan terhadap institusi kehakiman dan kerajaan Pahang dalam isu pencerobohan tanah ini.

ABDUL LATIF
ABDUL LATIF

Yang Dipertua PVATM Pahang, Kapten Abdul Latif Mohd Nor berkata, veteran ATM akan terus mempertahankan kedaulatan negeri dan negara kerana ini membabitkan pencerobohan.

"Dahulu di tanah Raub itu tempat kami berjuang. Kita bersusah-payah menenteramkan negara ini daripada anasir luar, tiba-tiba hari ini orang dalam negara sendiri yang menceroboh tanah kita," katanya.

PVATM Pahang turut mencadangkan kerajaan menubuhkan suruhanjaya pemutihan bagi mengenalpasti dan mengambil semula tanah-tanah yang diceroboh.

AMINUDDIN
AMINUDDIN

Pengerusi Pertubuhan Pembela Pusat, Aminuddin Yahaya berkata, seluruh Malaysia menumpukan perhatian terhadap kes mahkamah bersabit pencerobohan tanah kerajaan Pahang ini kerana ia bukan lagi isu negeri sebaliknya isu negara.

"Kes ini terpaksa tangguh kerana afidavit akhir yang menyebabkan hakim tidak dapat membuat keputusan yang sepatutnya dilakukan hari ini. Harap selepas ini tiada lagi penangguhan," katanya.