Lelaki ditahan selepas mengamuk dengan parang

Parang yang dirampas daripada suspek.
Parang yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan melakukan ugutan jenayah di sebuah kedai runcit di Taman Bertam Permai di sini malam semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, lelaki berkenaan yang datang ke kedai terbabit dengan menaiki sebuah motosikal turut membawa sebilah parang dan memekik mencari seseorang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bimbang sesuatu yang buruk berlaku pemilik kedai bersama beberapa rakannya keluar dan menghalang suspek daripada masuk ke dalam kedai berikutan ketika itu ramai pelanggan.

Menurutnya, suspek kemudiannya beredar dan pemilik kedai itu terus membuat laporan polis.

"Siasatan dilakukan mendapati suspek tidak berpuas hati dengan salah seorang pekerja kedai terbabit yang sebelum ini membuat laporan polis disebabkan perbuatannya mencuri sekotak rokok pada Isnin lalu.

"Bagaimanapun, ketika dia datang ke kedai malam tadi pekerja terbabit tiada kerana sudah pulang. Polis segera mengesan suspek sebaik menerima laporan kejadian berkenaan malam tadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Noorzainy berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Permatang Tinggi C kira-kira jam 11.30 malam.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan polis merampas sebilah parang yang digunakan ketika mengamuk serta melakukan ugutan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah kini direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah," katanya.