Polis saman bikers tutup nombor plat

Video yang tular di media sosial menunjukkan nombor plat motosikal berkuasa tinggi telah ditutup sebahagiannya.
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal berkuasa besar warga Singapura yang memasuki negara ini dengan menutup nombor plat mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sejurus mendapat maklumat berkenaan kejadian itu, polis terus mengambil tindakan dan saman sudah pun dikeluarkan ke atas penunggang motosikal itu.

Menurutnya, penunggang motosikal berkenaan disaman dalam satu pemeriksaan polis di Tangkak, Johor.

"Tidak kira sama ada warga Singapura atau warga tempatan, tindakan telah pun kita ambil," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, di sini, petang tadi.

Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 43 saat yang diambil pengguna jalan raya mendakwa sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Singapura menutup nombor plat mereka apabila memasuki negara ini.

Dalam video itu, kelihatan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan nombor plat pendaftaran bermula dengan abjad F yang merujuk kepada pendaftaran motosikal di Singapura itu, melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Perbuatan menutup nombor plat itu dikatakan telah menjadi trend 'bikers' Singapura disyaki bagi mengelak dirakam kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) sepanjang PLUS.