Kerjasama UMNO-DAP umpama jauh panggang daripada api

Kedudukan kerusi DUN terkini di Perak.
Kedudukan kerusi DUN terkini di Perak.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama antara UMNO dengan DAP dalam pembentukan kerajaan baharu di Perak dijangka tidak akan berlaku kerana perjuangan serta fahaman parti politik yang berbeza melibatkan dua parti berkenaan.

Bahkan menurut penganalisis politik Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib@ Khalid daripada Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, UMNO masih lagi bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang jelas menolak kehadiran DAP.

KARTINI
KARTINI

"UMNO dan Pas masih lagi bersama dalam MN dan belum ada pengisytiharan kepada pembubaran ini. Maka DAP dan Pas, biarpun sudah lama saling mengenali tetapi dua parti itu tidak boleh menerima antara satu sama lain. Jadi agak sukar untuk melihat DAP bekerjasama dengan UMNO sebagai suatu gabungan.

"Di Perak, UMNO mempunyai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu sebanyak 25 kerusi dan sudah pasti mempunyai kuasa tawar menawar yang baik bagi Pas (3 kerusi) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (5 kerusi)," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kemelut politik di Perak berlaku selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri rentetan kegagalannya memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta Ahad lalu, kemudiannya mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP sekiranya keputusan Pas dan Bersatu yang tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu berkenaan.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga mengeluarkan kenyataan serupa dengan menjelaskan PH bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di Perak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, selepas mesyuarat khas Biro Politik Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn semalam, UMNO membuat keputusan untuk terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak sekali gus menolak kerjasama bersama PH.

Mengulas kenyataan Ahmad Zahid dan Kor Ming, Kartini berkata, kenyataan itu hanyalah secara verbal dan bukannya secara bertulis atau rasmi bagi mengikat kedua-dua parti berkenaan.

"DAP boleh menyatakan sokongan secara verbal tetapi untuk bergabung sebagai ahli dalam Barisan Nasional, saya kira jauh panggang daripada api," katanya.

Sementara itu, pendapat berbeza disuarakan penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, yang melihat tiada istilah 'kawan' akan kekal dalam politik.

AWANG AZMAN
AWANG AZMAN

"Semuanya untuk kepentingan dan apa yang dimaksudkan adalah kerjasama antara parti sekutu sebagai contohnya, apabila kini Bersatu, Pas dan UMNO bekerjasama membentuk Perikatan Nasional (PN) namun tidak mustahil situasi di Perak, DAP yang juga mewakili PH pula akan bekerjasama dengan UMNO.

"Maka inilah yang dinamakan kepentingan apabila sesuatu parti itu mahu mewujudkan sokongan maka kerjasama dengan sesiapa pun boleh terbentuk dan situasi di Perak boleh berlaku perkara luar biasa kerana sebelum ini Pas juga pernah bekerjasama dengan UMNO," katanya.