Usah berdalih, utamakan rakyat

No Image Caption
A
A
A

SIAPA dapat menyangka institusi awam tersohor seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi sasaran kemarahan rakyat. Semuanya gara-gara tindakan KWSP yang dilihat kurang prihatin terhadap keperitan rakyat yang terdesak akibat kesan Covid-19.

Merujuk kepada profil korporat KWSP, ia ditubuhkan melalui Ordinan KWSP 1951 bertujuan sebagai dana simpanan persaraan yang menyediakan jaminan asas kewangan persaraan. Pada tahun 1991, Akta KWSP (Akta 452) telah digazetkan untuk menyusun semula dan memperkukuhkan peranan KWSP sebagai dana persaraan terulung negara.

Apabila meletusnya pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, ramai kehilangan pekerjaan dan terputus mata pencarian. Antara komponen Pakej Prihatin yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah KWSP melancarkan kemudahan i-Lestari untuk memudahkan ahli mengeluarkan simpanan akaun dua sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan.

Melalui kemudahan tersebut, ahli KWSP yang memohon dapat meningkatkan aliran tunai mereka sekali gus mengurangkan impak tekanan kewangan yang dihadapi. Seramai 4.7 juta ahli menggunakan kemudahan tersebut dengan jumlah pengeluaran kumulatif sebanyak RM11.6 billion.

Kenaikan jumlah kes positif Covid-19 daripada gelombang ketiga menyebabkan kerajaan PN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mengakibatkan pemulihan ekonomi terganggu. Hasrat rakyat yang mahu kembali bekerja dan menyara keluarga terbantut.

Apabila Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar kerajaan PN dan KWSP membenarkan pengeluaran akaun satu KWSP pencarum secara one-off sebanyak RM10,000, rakyat melihat ada sedikit sinar untuk mereka.

Rata-rata yang menyambut baik cadangan itu merupakan ahli KWSP yang terjejas teruk akibat kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan secara signifikan sehingga tidak mampu menyara keluarga serta melunaskan hutang tertunggak akibat penamatan moratorium pada September 2020.

Dalam ucapan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan mengumumkan kemudahan pengeluaran akaun satu KWSP, namun dikritik hebat oleh rakyat sebagai 'tidak mencukupi’. Desakan demi desakan oleh rakyat dan pemimpin menyebabkan KWSP mengumumkan kemudahan i-Sinar tetapi itu pun dikritik sebagai terlalu banyak birokrasi dan mempunyai tafsiran sempit dalam soal kelayakan pemohon.

Artikel Berkaitan:

Kekecewaan rakyat diserlahkan apabila penuh perbincangan media sosial dengan momokan dan gurauan kasar oleh netizen mengenai i-Sinar. Tidak pernah terlintas dalam fikiran penulis bahawa institusi simpanan pekerja dan pelaburan awam tersohor dengan aset berjumlah lebih RM900 bilion serta memiliki pegangan saham dalam syarikat-syarikat senaraian awam utama negara menjadi bahan momokan ramai. Maka, tidak kekok untuk penulis dan teman-teman Pemuda UMNO menzahirkan kekecewaan apabila melihat KWSP seperti 'tidak ikhlas' menjadikan i-Sinar untuk memudahkan semua. Walaupun telah diingatkan berkali-kali sama ada pemimpin mahupun rakyat serta cadangan penambahbaikkan disalurkan terus kepada mereka, hasilnya masih tidak memuaskan.

Jangan kita lupa bahawa simpanan KWSP adalah secara teknikalnya milik pencarum! Terkini, KWSP sudah pandai bermain bahasa dengan cuba membezakan makna kriteria dan syarat. Cukup-cukuplah alasan dan 'taichi’ kanan dan kiri kerana ia adalah persoalan mudah iaitu 'mahu bantu atau tidak?’ Kalau 'tidak mahu’ cakap terang-terang dan jangan kelirukan rakyat.

Marilah kita berbalik kepada objektif utama untuk membantu meringankan beban rakyat. Kesan Covid-19 sangat nyata kepada rakyat. Seiring dengan penulisan saya sebelum ini – permudahkan, usah dipersulitkan.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia