Rakyat tahu proses transisi kerajaan bukan mudah

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor mendakwa rakyat negara ini sememangnya memahami proses transisi sebuah kerajaan kleptokrat kepada kerajaan reformasi bukan perkara mudah.

Amirudin Shari dalam perutusan beliau sempena sambutan Tahun Baru Cina berkata, namun ia bukan alasan pimpinan PH termasuklah dirinya bersikap sambil lewa.

Menurutnya, sambutan tahun baru kali ini bersejarah kerana ia kali pertama diraikan di era Malaysia Baharu selepas PRU14, Mei tahun lalu.

“Kini adalah waktu untuk bekerja, bekerja lebih kuat untuk rakyat Malaysia. Rakyat mengerti proses transisi daripada sebuah kerajaan kleptokrat kepada suatu kerajaan reformasi bukanlah mudah.

“Ini bukanlah alasan kepada pimpinan PH termasuk diri saya sendiri untuk bersikap sambil lewa serta masih gugup mentadbir," katanya.

Amirudin berkata, Selangor bertuah kerana sudah memulakan proses pembaharuan sejak tahun 2008 dan segala tohmahan dilempar sejak 10 tahun lalu dijawab dengan pelaksanaan dasar yang mensejahterakan negeri dan rakyat.

“Dalam Belanjawan 2019, Selangor tumpu kepada dasar memacu ekonomi negeri dengan membangunkan sepuluh kluster dinamakan Gugusan Ekonomi Negeri Selangor.

“Inisiatif ini untuk lancarkan segenap potensi yang ada pada setiap lokaliti supaya ekonomi tempatan dapat dilonjak sekaligus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya kesemua perancangan itu hanya dapat dilaksanakan jika seluruh rakyat Selangor bersatu-padu menjayakannya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia