Keputusan BAM tak kena masanya

ROSLIN HASHIM
ROSLIN HASHIM
A
A
A

KEPUTUSAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menyambung kontrak tiga jurulatih - Rosman Razak, Chin Eei Hui dan Wong Pei Ty ternyata mengejutkan ramai pihak.

Menurut bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim, BAM tidak sepatutnya membuat keputusan tersebut tatkala skuad badminton negara bakal menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.

Roslin berkata, peluang seharusnya diberikan kepada ketiga-tiga jurulatih berkenaan untuk terus membimbing barisan pemain negara yang telah lama mengikuti latihan bersama mereka.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan tindakan sedemikian. Kita pun tak tahu sebab sebenar jurulatih terbabit tidak disambung kontrak, kemungkinan mereka tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan BAM.

“Bagi saya, memandang tahun 2021 nanti kita akan berdepan dengan Sukan Olimpik, adalah lebih baik kontrak ketiga-tiga jurulatih itu disambung kerana mereka cukup faham dengan pemain dan juga kebolehan pemain yang dibimbing.

“Jika dengan jurulatih baharu nanti, mungkin pemain terpaksa mengambil masa pula untuk sesuaikan dengan latihan dan sebagainya. Sepatutnya jika kontrak mereka perlu ditamatkan, biarlah selepas tamat Sukan Olimpik nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, BAM menerusi satu kenyataan media memaklumkan kontrak Eei Hui dan Pei Tty tidak disambung manakala Rosman meninggalkan skuad negara atas persetujuan bersama.

Ketika ini, Rosman menggalas tugas sebagai jurulatih beregu lelaki manakala Eei Hui dan Pei Tty yang pernah mengharumkan nama Malaysia ketika bergelar pemain membimbing beregu wanita.

Artikel Berkaitan:

Biarpun menyambut baik hasrat BAM untuk melakukan penstrukturan semula dalam barisan kejurulatihan, Roslin secara peribadi tetap berpandangan ia tidak wajar dilakukan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya bukan mudah untuk membuat penilaian terhadap jurulatih berkenaan kerana dalam tempoh hampir setahun sejak Seluruh England Mac lalu, tidak ada sebarang kejohanan yang dianjurkan secara kompetitif.

“Penilaian terhadap prestasi setiap pemain negara hanya boleh dibuat dalam beberapa kejohanan peringkat dalaman, jadi agak sukar untuk menilai KPI setiap jurulatih terbabit,” ujarnya.