Hebatnya berubat jarak jauh

Teknologi hari ini amat memanfaatkan manusia terutamanya dari segi kesihatan.
Teknologi hari ini amat memanfaatkan manusia terutamanya dari segi kesihatan.
A
A
A

KETIKA zaman kanak-kanak, saya pernah berjalan kaki dari rumah nenek ke sekolah yang jaraknya kira-kira satu kilometer. Didesak naluri ingin tahu berapa langkah jarak rumah itu dari sekolah, saya menghitung setiap langkah saya.

Satu, dua, tiga dan seterusnya sehinggalah terhenti selepas beberapa puluh. Keinginan untuk menghitung tidak dapat mengatasi kemalasan untuk mengira.

Kalau saya tidak malas sekalipun, hitungan itu pastinya akan terhenti juga sebab di pertengahan jalan saya bertemu kawan-kawan yang juga berjalan kaki ke sekolah. Dengan sendirinya perha-tian saya beralih kepada mereka, sekali gus mengganggu urusan menghitung itu.

Kesudahannya sampai sekarang, saya tidak tahu berapa langkah jarak antara rumah nenek saya dengan sekolah.

Kalaulah zaman kanak-kanak saya itu sekarang, bukannya 40 tahun dahulu, tentu saya telah mendapat jawapannya. Hari itu juga saya boleh set penghitung langkah pada jam tangan untuk mengira hayunan langkah. Saya tidak perlu mengira sendiri, saya boleh bersembang dengan kawan-kawan, namun saya tetap akan mendapat jawapannya. Malah, saya juga boleh mengetahui jumlah kalori yang dibakar.

Itu baru sedikit. Ada kawan saya beritahu, jam tangannya boleh membantu mengawasi degupan jantung, tekanan darah, kolesterol, kandungan gula dalam darah dan pelbagai lagi. Malah, jam tangannya juga boleh ‘memberitahu’ isterinya di mana dia berada.

Di App Store iphone atau setor Google Play untuk android, terdapat pelbagai aplikasi berasaskan kesihatan dan perubatan untuk dimuat turun sama ada ke telefon pintar, peranti tablet atau ke komputer – riba atau tak riba. Dengan bahasa mudahnya, setiap kita berupaya memiliki penasihat kesihatan, jururawat, pembantu perubatan, malah doktor peribadi yang boleh dibawa ke sana ke mari dan tentunya lebih mudah dijaga sebab tidak perlu fikirkan soal gaji, bonus dan cuti.

Di Thailand pada tahun lalu telah dilancarkan ‘Hospital Maya’ Samitivej iaitu pesakit mempunyai cara mudah mendapatkan khidmat rundingan daripada doktor pakar – di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa yang mereka mahu. Sebagai tambahan kepada perkhidmatan telekonsultasi, hospital dalam talian itu juga menawarkan penghantaran ubat ke rumah atau lawatan ke rumah untuk mengambil sampel darah.

Artikel Berkaitan:

Yang penting, perkhidmatan yang ditawarkan Samitivej Virtual Hospital itu tidak memerlukan temu janji. Aplikasi �Virtual Hospital’ boleh dimuat turun ke telefon pintar atau peranti tablet. Hospital dalam talian itu mempunyai pasukan doktor daripada pelbagai bidang, jururawat dan pakar pelbagai disiplin. Bayaran konsultasi adalah 500 baht (kira-kira RM67) setiap 15 minit dan pesakit yang menggunakan perkhidmatan itu mendapat potongan 20 peratus untuk ubat-ubatan.

Mudah. Ya, kosnya mungkin agak mahal tetapi rasanya lebih murah daripada ubat pelangsing atau krim pemutih kulit dan jangan lupa, ia menyelamatkan anda daripada ternganga-nganga menunggu giliran untuk berjumpa doktor. Itu belum lagi diambil kira kos petrol, kos tenaga dan kos singgah makan, singgah minum, dalam perjalanan pergi dan balik dari hospital.

Hospital Maya Samitivej bukanlah yang pertama seumpamanya. Ada banyak lagi hosital maya lain di seluruh dunia. Malaysia pun sedang melangkah ke arah itu. Setakat ini kita telah memiliki perkhidmatan rawatan susulan secara maya, khidmat konsultansi secara video, penghantaran ubat sehingga ke depan pintu, selain daripada farmasi secara maya.

Mungkin akan sampai waktunya nanti, selesai pemeriksaan secara maya, dron mendarat di depan rumah, bertukar menjadi robot dan masuk untuk merawat pesakit mengikut keperluan sebagaimana yang telah diprogram berdasarkan pemeriksaan pada waktu sebelumnya.

Bunyinya seperti satu adegan dalam sebuah filem fantasi tetapi begitulah. Banyak yang ada dan terjadi di dunia ini bermula dengan fantasi.

Pesatnya perkembangan teknologi perubatan memang mengagumkan sesiapa sahaja yang mahu berfikir. Dalam tahun-tahun terakhir ini kita telah menyaksikan kemunculan inhaler pintar yang boleh disambung dengan teknologi bluetooth bagi membantu pesakit asma, teknologi pembedahan robotik, sensor otak tanpa wayar, penggunaan realiti maya (VR) bagi proses penyembuhan dan fisioterapi, alat ultrasound di dalam poket, pembuatan organ palsu menggunakan teknologi percetakan 3D dan banyak lagi.

Malah, di China, seorang penyelidik biofizik bernama He Jiankui telah menemui teknologi mengedit gen yang dinamakan Clustered Regularly Interspaced Short Palindromic Repeats (CRISPR). Ia dilakukan dengan cara memanfaatkan mekanisme sistem imun sel bakteria yang dicerobohi oleh virus dan memotong helai DNA yang terjangkit.

Walaupun begitu, teknologi CRISPR mencetuskan kontroversi kerana ia seakan mencabar fitrah kejadian semula jadi manusia kerana apabila gen diedit, maka si pelaku boleh menghasilkan bayi berdasarkan kehendaknya sendiri.

Itulah juga yang dilakukan oleh Jein-kui. Dia memodifikasikan embrio manusia dan implan ke dalam rahim seorang ibu. Hasilnya adalah kelahiran bayi kembar perempuan Lulu dan Nana yang secara teorinya imun dengan virus HIV. Perbuatan itu menyalahi undang-undang dan pada Disember tahun lalu, Jeinkui dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh sebuah mahkamah di China.

Keajaiban Ada banyak lagi ‘keajaiban’ teknologi sedang menanti kita. Setiap hari, sepanjang masa, ada sahaja orang sedang cuba mencipta sesuatu dan hasilnya seringkali menambah darjah ketakjuban kita.

Tetapi di sebalik ketakjuban itu, ada baiknya diimbas kembali kehebatan nenek moyang kita dalam bidang perubatan.

Lama sebelum Bapa Pembedahan Moden, Theodor Billroth (1829–1894) melakukan pembedahan pertamanya, nenek moyang kita telah terlebih dahulu melakukannya. Lebih hebat lagi mereka membedah tanpa alat bius, malah tanpa pisau. Turis dengan tangan, seluk dan betulkan apa yang perlu, tutup balik, tepuk-tepuk dan kulit tempat di bedah itu pun kembali seperti sediakala tanpa bekas dan tanpa parut!

Soal magis atau tidak, ilmu hitam atau ilmu putih, waallahualam. Tetapi kisah-kisah mengenainya memang banyak. Sampai sekarang pun khabarnya masih ada orang kita yang berkebole-han melakukan pembedahan dengan cara sedemikian. Lagi sekali, waallahualam.

Nenek moyang kita juga hebat dalam perubatan jarak jauh. Ada bomoh patah yang boleh merawat pesakitnya dengan hanya mengurut daun sirih di rumahnya, sedangkan pesakit pula berada puluhan kilometer di tempat lain, Tidak sedikit juga bomoh urut yang memiliki kebolehan sama – mengurut pesakit tanpa menyentuh tubuhnya.

Itu belum termasuk perkara-perkara buruk seperti tuju-tuju, santau dan seumpamanya, yang semuanya boleh dilakukan dari jauh. Tepuk-tepuk di sini, rebah yang di sana. Cucuk-cucuk di sini, meraung yang di sana. Nauzubillahiminzalik.

Masalah kita hanyalah kebanyakan ilmu yang dipelopori itu tidak ditingkatkan tahap keilmuannya. Sama ada kekal begitu atau dibiarkan pupus terus. Kita jarang mencari cara untuk menaik-kan martabatnya. Nenek moyang kita yang mula ‘menjual’ air sejuk, dengan sedikit jampi serapah tetapi yang kaya menjual air sejuk yang dibotolkan sekarang ini adalah orang lain.

Anak cucu nenek moyang kita berakhir sebagai pembeli sahaja. Mari kita bertindak sebagai pencipta teknologi.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan