Felda tambah pegangan dalam FGV

Felda akan meningkatkan pegangannya dalam FGV Holdings Bhd kepada 35.12 peratus.
Felda akan meningkatkan pegangannya dalam FGV Holdings Bhd kepada 35.12 peratus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang memiliki 21.24 peratus kepentingan dalam FGV Holdings Bhd, akan meningkatkan pegangannya kepada 35.12 peratus selain bercadang mengambil alih saham persendirian syarikat itu pada RM1.30 sesaham.

Felda telah memeterai perjanjian belian saham bersyarat dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) membabitkan sejumlah 222.48 juta saham FGV yang mewakili 6.1 peratus pada harga RM289.2 juta atau RM1.30 sesaham.

Dalam kenyataan hari ini, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata, Felda turut memeterai perjanjian pembelian saham dengan Urusharta Jamaah Sdn Bhd membabitkan pembelian sebanyak 283.71 juta saham FGV yang mewakili 7.78 peratus kepentingan ekuiti dalam FGV pada harga RM368.8 juta atau RM1.30 sesaham.

Apabila cadangan pengambilalihan itu selesai, Felda berserta pihak yang berkepentingan sama (PAC) akan secara kolektif memegang lebih daripada 50 peratus saham-saham FGV.

“Selain itu, apabila perjanjian pembelian saham bersyarat (CSPA) menjadi tidak bersyarat, Felda akan menyerahkan notis tawaran mandatori kepada Lembaga Pengarah FGV,” kata Maybank IB yang turut berperanan sebagai penasihat prinsipal FELDA terhadap cadangan-cadangan tersebut.

Cadangan pengambilalihan itu turut menjadi peluang untuk Felda mendapatkan kawalan statutori ke atas FGV berserta pihak PAC bagi meneruskan pelan transformasi dan penstrukturan semulanya dan syarikat-syarikat berkaitannya untuk memperkukuh perniagaan teras dalam sektor perladangan.

“Usaha pengambilalihan itu akan meningkatkan keupayaan Felda untuk menguasai tanah ladang dan penyepaduan rantaian nilai FGV dan anak-anak syarikatnya.

“Ini akan membuka jalan bagi kerjasama lebih besar dalam aktiviti perniagaan Felda dan FGV Group selain memberi akses terhadap aktiviti hiliran yang dinilai tambah tinggi dan dilaksanakan oleh FGV dalam sektor perladangan,” kata Maybank IB.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan Felda di masa depan serta mewujudkan sinergi mantap dengan kumpulan Felda secara meluas dan membolehkan agensi itu mempunyai aliran tunai kukuh bagi meningkatkan semula prestasi dan kemampanannya. - Bernama