X

Kindly register in order to view this article
!

DAP syok sendiri, kata Presiden MCA

Ka Siong menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang 'syok sendiri' selepas Pengerusi DAP Perak mengeluarkan kenyataan rela bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO dalam pembentukan kerajaan baharu Perak.
A
A

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melihat DAP sebagai sebuah parti yang 'syok sendiri' selepas Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengeluarkan kenyataan rela bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO dalam pembentukan kerajaan baharu Perak.

"DAP 'syok sendiri', tak payah komenlah. Biarkan sahaja," kata Ka Siong kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Kor Ming rentetan kemelut politik yang berlaku di Perak.

Kemelut politik di Perak berlaku selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri rentetan kegagalannya memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta Ahad lalu, kemudiannya mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP sekiranya keputusan Pas dan Bersatu yang tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu berkenaan.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga mengeluarkan kenyataan serupa dengan menjelaskan PH bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO akan terus pertahankan kerajaan PN Perak

Kerjasama UMNO: DAP mahu bentuk kerajaan berbilang kaum

UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

Bagaimanapun, selepas mesyuarat khas Biro Politik Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn semalam, UMNO membuat keputusan untuk terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak sekaligus menolak kerjasama bersama PH.

Hari ini, Ahmad Zahid sekali lagi menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta pada jam 10 pagi bagi menyembah maklum keputusan mesyuarat tergempar Biro Politik MKT.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini juga memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dipanggil menghadap Sultan Nazrin hari ini.

Bagaimanapun Pas dan Bersatu akan memohon untuk menghadap Sultan Nazrin dalam masa terdekat kerana ADUN daripada parti itu terlibat dengan mesyuarat khas antara pimpinan kedua-dua parti di Kuala Lumpur hari ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!