X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Wakaf Air sedia bekalan air terawat ketika krisis

Tuan Ibrahim merasmikan Waqaf Advancement Webinar 2020 (WAW 2020) secara maya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Tabung Wakaf Air Nasional (Wakaf Air) bertujuan membekalkan air bersih terawat kepada rakyat terutama mereka yang berada di luar bandar dan ketika berlaku krisis air.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Wakaf Air juga bertujuan memberi peluang kepada masyarakat awam untuk sama menyumbang dalam pengurusan infrastruktur bekalan air.

"Ciri utama Wakaf Air ialah menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk mewakafkan air, mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup yang ditetapkan.

"Ini termasuk pembiayaan pelaksanaan infrastruktur bekalan air berskala kecil tidak lebih RM50,000 seperti penggalian perigi, pembelian peralatan pam, penyediaan mini empangan dan tangki simpanan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air walaupun pada musim kemarau.

"Adalah diharapkan masyarakat awam akan menerima baik konsep Wakaf Air ini dan Tabung Wakaf Air Nasional akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan dengan pembabitan pelbagai pemegang taruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Waqaf Advancement Webinar 2020 (WAW 2020) secara maya anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, dekat sini hari ini.

Turut terlibat dalam perasmian WAW 2020 secara maya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia, Profesor Madya Dr Amir Shaharuddin, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTM.

WAW 2020 dianjurkan UTM melalui Kumpulan Penyelidik Syariah Law and Economics (SLEC) Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Unit Dana Wakaf Pendidikan dengan kerjasama MAINJ dan International Institute of Islamic Waqf (IIIW).

Tuan Ibrahim berkata, bagi menjayakan projek Wakaf Air, kementeriannya akan bekerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bagi menyediakan model tadbir urus yang efektif dan mematuhi prosedur kewangan sedia ada.

Pelaksanaan Wakaf Air katanya, akan melibatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan keperluan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Menurutnya, manfaat projek Wakaf Air akan diagihkan kepada golongan sasar terdiri orang Islam dan bukan Islam kerana konsep wakaf adalah bersifat manfaat umum dan boleh dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

"Bagi merealisasikan hasrat murni ini masih terdapat cabaran antaranya aspek mentaliti sebahagian masyarakat yang melihat wakaf dalam konteks sempit iaitu mengehadkan wakaf kepada tanah kubur, wakaf masjid dan surau serta wakaf pembangunan madrasah atau sekolah pondok.

"Masyarakat hari ini masih belum didedahkan dengan Wakaf Air sedangkan ia pernah diamalkan oleh Saidina Othman Affan RA semasa zaman Rasulullah SAW," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!