Terpaksa hadap banjir termenung

Mat Chek (kiri) bersama isteri melihat cucu mereka bermain air banjir termenung di hadapan rumah mereka di Kampung Padang Garam hari ini. - Foto Bernama
Mat Chek (kiri) bersama isteri melihat cucu mereka bermain air banjir termenung di hadapan rumah mereka di Kampung Padang Garam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Jumlah mereka tidak ramai, hanya sembilan orang daripada empat keluarga namun setiap kali musim banjir di Terengganu, mereka menjadi 'mangsa terakhir' untuk pulang ke rumah masing-masing.

Kebiasaannya, banjir akan surut antara dua hingga tiga hari di sesetengah kawasan namun bagi sembilan penduduk Kampung Padang Garam di sini banjir di kawasan itu hanya akan surut selepas tujuh hari menyebabkan mereka terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) lebih lama.

Mangsa banjir, Siti Sanirah Idris, 34, berkata, mereka pernah tinggal di PPS selama 10 hari kerana banjir termenung iaitu fenomena apabila air banjir bagaikan bertakung di seluruh kampung tidak dapat mengalir ke mana-mana berhari-hari lamanya.

"Sedih sangat bila lihat seorang demi seorang mangsa banjir lain pulang ke rumah tapi saya dan suami, Nik Fauzi Alias, 37, masih perlu tinggal di PPS ini sebagai antara mangsa banjir terakhir di Terengganu," katanya ketika ditemui di SMK Merchang di sini hari ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir Puteh, Rosli Othman (kiri) bersama penduduk, Nik Fauzi Alias Sa'a memantau rumah yang masih ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Padang Garam hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir Puteh, Rosli Othman (kiri) bersama penduduk, Nik Fauzi Alias Sa'a memantau rumah yang masih ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Padang Garam hari ini. - Foto Bernama

Sembilan individu daripada empat keluarga itu tinggal berdekatan dan mempunyai kaitan persaudaraan antara satu dengan yang lain serta berkerja sebagai penanam cili dan timun dan menternak haiwan secara kecil-kecilan.

Seorang lagi mangsa, Mat Chek Chik, 61, berkata, semasa gelombang pertama banjir pada 24 November lalu, dia dan isterinya, Nurzila Ismail, 58, tinggal di PPS SMK Merchang selama lapan hari.

"Pada 2 Disember, kami pulang ke rumah setelah air surut sepenuhnya namun belum pun puas berehat di rumah, air naik lagi hingga ke paras tangga rumah menyebabkan kami kembali semula ke SMK Merchang keesokan pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Garam semalam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak berkata, pihaknya telah menambah baik sistem saliran sedia ada di kampung itu untuk mempercepatkan usaha menangani banjir termenung.

"Kita dalamkan lagi dan tambah bilangan saliran yang ada. Sebenarnya pembinaan telah bermula minggu lepas namun terhenti apabila hujan lebat dan banjir melanda.

“Kerja pembinaan disambung pagi semalam (kelmarin) dan hasilnya air mulai surut pada sebelah petang. Kita jangka semua sembilan mangsa yang masih berada di PPS itu akan pulang dalam tempoh terdekat," katanya. - Bernama