X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Dua kluster baharu, empat diisytihar tamat

KKM kesan dua lagi kluster baharu di Selangor dan Kuala Lumpur hasil saringan di tempat kerja.
A
A

PUTRAJAYA - Terdapat dua lagi kluster Covid-19 baharu dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Selangor dan Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kluster di negara ini sebanyak 392.

"Kluster Seruling dikesan di Klang, Hulu Selangor dan Petaling hasil saringan di tempat kerja pada 4 Disember," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 2,267 individu telah disaring setakat ini.

"Jumlah yang disahkan positif pula adalah 109 kes," katanya.

Beliau berkata, Kluster Tapak Bina Darul pula membabitkan Titiwangsa, Cheras dan Lembah Pantai, Kuala Lumpur serta Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Klang, Selangor.

"Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif pada 6 Disember lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak pembinaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam, seramai 240 individu telah disaring dan 14 dikesan positif Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat empat kluster yang diisytiharkan tamat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 207.

"Kluster yang tamat pada hari ini ialah Kluster Melati, Kluster Kempas, Kluster Titir dan Kluster Tempayan," kata beliau lagi.

Menurutnya, jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 185 kluster.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

"Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai iaitu sebanyak 78 kes, Kluster Batu Tujuh (52 kes) dan Kluster Ria-30 (33 kes)," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!