Individu ingkar arahan PKP terus catat tiga angka

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mencatat tiga angka, apabila semalam seramai 182 individu ditahan, dengan 181 daripadanya dikompaun dan seorang direman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal menjadi kesalahan tertinggi dengan 66 kes manakala tidak memakai pelitup muka sebanyak 60 kes.

“Kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan iaitu 46 kes dan lain-lain sebanyak 10 kes,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 31 pendatang asing diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Turut dirampas dalam operasi itu ialah tiga kenderaan dan sebuah bot.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail Sabri berkata sejak April hingga semalam, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat sebanyak 13,820 pemeriksaan yang melibatkan 7,936 tapak binaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan di 18 tapak binaan di seluruh Malaysia dan daripada jumlah itu, 17 tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan manakala sebuah tapak binaan diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 83,737 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 76 hotel serta 18 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 12,097 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 509 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, sementara 71,131 individu lagi dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama