Kemelut politik Perak: UMNO perlu petunjuk dan gandingan baharu

SYED AGIL
SYED AGIL
A
A
A

SHAH ALAM - Senario politik di Perak jelas menunjukkan UMNO harus mempunyai petunjuk dan gandingan yang baharu dengan mengetepikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, ini termasuklah dengan menjalinkan kerjasama dengan pembangkang untuk menyertai gandingan tersebut.

Menurutnya, UMNO berkemungkinan akan menarik beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas sekiranya tidak berhajat mengikat hubungan dengan DAP.

"Namun, hal ini sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional, begitu juga penerimaan UMNO dan Pas terhadap penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional.

"Petunjuk ini boleh disignifikasikan sebagai satu gelombang ancaman politik mutakhir kerana dikhuatiri akan menimbulkan polemik hubungan kerjasama antara UMNO, Pas dan Bersatu di peringkat Persekutuan dan negeri," katanya hari ini.

Malah, beliau turut berpandangan, polemik itu berkemungkinan akan terus berlarutan sehingga menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Bersatu akan meningkatkan kerjasama dengan Pas melalui Perikatan Nasional (PN) demi 'kestabilan politik peringkat nasional dan negeri'.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada malam semalam.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan itu juga, Bersatu langsung tidak menyebut sebarang kerjasama dengan UMNO, atau mengenai Muafakat Nasional yang sebelum ini dikatakan melibatkan penyertaan Bersatu, Pas, dan UMNO.

Mengulas lanjut, Syed Agil berpandangan, ketiga-tiga parti itu seharusnya memberikan tumpuan mereka kepada penubuhan Majlis Presiden yang diusahakan oleh Presiden Bersatu sebelum ini.

Menurutnya, Presiden Bersatu mahu menubuhkan Majlis Presiden untuk memperkukuhkan jalinan hubungan kerjasama antara semua pimpinan parti yang menyokong PN di peringkat nasional dan negeri.

"Namun, kenyataan terbaharu Bersatu mahu kukuhkan hubungan politik dengan Pas menunjukkan sandaran kuat parti itu kini bergantung kepada Pas untuk terus memberikan sokongan kepada mereka di peringkat nasional dan negeri.

"Hal ini akan menyebabkan UMNO tersepit dan dilanda paradoks terhadap pengukuhan kerjasama parti tersebut dengan rakan kuatnya, Pas dalam Muafakat Nasional yang telah dimeterai sebelum ini," katanya.

Dalam erti kata lain, katanya, UMNO harus mencari penyelesaian berhubung komitmennya dengan Pas, sama ada mencari jalan tengah bagi menyelesaikan konflik politik melibatkan Pas dan Bersatu.

"Atau meneliti semula hubungan politik dengan Pas dan mencari formula baharu melahirkan bentuk hubungan politik lebih progresif supaya hal-hal pertikaian politik ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.

Beliau juga berpandangan, UMNO seharusnya duduk semeja dengan Pas dan Bersatu untuk membina satu formula yang baharu terhadap pengukuhan politik di peringkat nasional dan negeri.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan pertikaian-pertikaian politik berlaku secara berterusan sekali gus dapat menjejaskan penyatuan ummah Melayu dan Islam dalam dunia politik tanahair hari ini.

"Sekiranya ia gagal dilaksanakan, terpaksalah pembentukan kerajaan campuran di peringkat negeri-negeri yang menghadapi krisis kerusi yang melibatkan penyertaan ketiga-tiga parti tersebut.

"Keadaan ini sudah pastinya akan menyulitkan lagi penyatuan politik Melayu Islam pada masa akan datang," katanya.