Kolam ternak keli punca sungai tercemar

Loy Sian melihat sampel air yang menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor pada sidang akhbar di Stesen Sementara Pemantauan Kualiti statik DI C14/C22 Sungai Selangor di Rawang semalam.
Loy Sian melihat sampel air yang menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor pada sidang akhbar di Stesen Sementara Pemantauan Kualiti statik DI C14/C22 Sungai Selangor di Rawang semalam.
A
A
A

RAWANG - Sebuah syarikat kolam ternakan ikan keli di Hulu Selangor dipercayai menjadi punca kepada pencemaran bau seakan bangkai hingga mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3, di sini dihenti tugas secara berperingkat bermula malam kelmarin.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, sebuah daripada 57 kolam ternakan milik syarikat itu berkeluasan 40 hektar itu didapati melepaskan air tercemar kira-kira 100 meter daripada Sungai Selangor.

Menurutnya, hasil tinjauan mendapati tanah itu mempunyai hak milik untuk kegunaan ternakan air tetapi malangnya tiada kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan beroperasi tanpa lesen Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

"Kita dapati mereka (syarikat ternakan) mengambil masa selama tujuh hari untuk melepaskan air (tercemar) ke Sungai Selangor dan semalam yang terakhir.

"Kerja-kerja pengeringan sebuah kolam ternakan itu masih sedang dijalankan pihak syarikat terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Stesen Sementara Pemantauan Kualiti statik DI C14/C22 Sungai Selangor di sini semalam.

Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah membuat laporan polis berhubung insiden terbabit untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

"LUAS juga sudah mengambil enam sampel air untuk dihantar ke Jabatan Kimia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, LUAS juga akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79 akta yang baharu diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan memperuntukkan hukuman minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta manakala penjara tidak kurang tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, kita berharap polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dilupuskan ke dalam sungai," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 11 kes pencemaran sungai Selangor dilaporkan sepanjang tahun ini sahaja manakala dua daripadanya membabitkan kolam ternakan ikan keli.

"Ini pencemaran kali kedua (membabitkan kolam ternakan keli) tetapi di tempat berlainan yang mana kali pertama berlaku Februari lalu," katanya.