Zambry, Saarani menghadap Sultan Perak

Zambry, Saarani Mohamad
Zambry, Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad turut dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini hari ini.

Kehadiran kedua-dua pemimpin itu menimbulkan spekulasi bahawa Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu akan dipilih semula sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Bagaimanapun, UMNO masih belum memperoleh majoriti mudah untuk mengetuai kerajaan Perak berdasarkan kenyataan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini bahawa tiada mana-mana pihak yang memperoleh sekurang-kurangnya 30 ADUN bagi membentuk kerajaan.

"Dia (Saarani) memohon untuk menghadap (Sultan Nazrin) bersama Datuk Seri Zambry dan diperkenankan," kata Mohd Annuar kepada pemberita di hadapan Istana Kinta, di sini hari ini.

Terdahulu, pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak terdiri daripada Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hadir menghadap sembah Sultan Nazrin.

Selain itu, ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim turut disahkan menghadap Sultan Nazrin hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Annuar turut memaklumkan sehingga kini tidak ada mana-mana pihak yang memohon untuk menghadap.

Terdahulu, seorang ADUN Pas Perak memaklumkan parti itu bersama Bersatu dijangka memohon untuk menghadap Sultan Nazrin dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pas, Bersatu akan mohon menghadap selepas mesyuarat

Sultan Perak titah semua ADUN Bersatu, Pas menghadap

Belum ada parti capai majoriti mudah tubuh kerajaan