Polis buru peguam lelaki pecah amanah

Kingsley Wambeck diburu polis.
Kingsley Wambeck diburu polis.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka sedang memburu seorang peguam lelaki berusia 39 tahun yang terlibat dalam lima kes penipuan dan pecah amanah membabitkan urusan jualbeli hartanah bernilai kira-kira RM500,650.

Ketua Polis, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, peguam yang dikenali sebagai Kingsley Wambeck dan beralamat di Taman Megah Bukit Beruang dan Taman Muzaffar Height, Ayer Keroh itu didakwa telah menipu lima individu yang melantik suspek sebagai peguam bagi menguruskan proses penjualan serta pembelian hartanah.

Menurutnya, mangsa mendakwa penjualan rumah miliknya sebanyak RM350,000 dan wang pembelian rumah RM147,000 telah disalahgunakan peguam terbabit.

"Mangsa-mangsa mendapati syarikat peguam berkenaan yang beralamat di Melaka telah ditutup dan individu terbabit juga telah menghilangkan diri.

"Kesemua mangsa membuat laporan polis kerana telah ditipu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Orang ramai yang mengenali atau mengetahui maklumat peguam terbabit boleh berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan menghubungi Inspektor Mohd Yassar Ishak di talian 017-6806680 atau, Inspektor Izrayasrina Muhamad Saad (012-6773402) dan Inspektor Koet Pei Ing (016 4121209).

Artikel Berkaitan: