Menyamar polis peras ugut keluarga penjenayah

Shamsul Amar Ramli
Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Taktik seorang lelaki mendapatkan wang dengan menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut keluarga penjenayah terbongkar selepas diberkas di Kampung Idaman di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan yang dibuat pengadu seorang wanita berusia 24 tahun mengatakan suspek telah datang ke kediamannya di Kampung Idaman pada 10 Julai lalu.

"Dalam kejadian itu, suspek telah memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dan hendak menahan pengadu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah yang dilakukan suaminya.

"Suspek juga meminta bayaran RM2,500 sekiranya pengadu mahu suaminya dibebaskan. Selain itu, suspek juga telah mengambil barang berharga milik pengadu dengan alasan barangan itu adalah bahan bukti untuk siasatan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suami pengadu kini dalam tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selama dua tahun sejak 23 September lalu di Pusat Pemulihan Khas Bentong, Pahang atas kesalahan jenayah samun.

Katanya, pihaknya percaya suspek aktif menyamar pegawai polis dan memeras ugut ahli keluarga penjenayah sejak Julai lalu.

"Hasil soal siasat suspek mengaku terlibat dalam kes terbabit dan dia juga didapati memiliki empat rekod dadah serta satu rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini sedang ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.