Lima anggota Abu Sayyaf serah diri

Tentera melancarkan operasi untuk memburu dalang serangan berdarah pada minggu lalu.
Tentera melancarkan operasi untuk memburu dalang serangan berdarah pada minggu lalu.
A
A
A

MANILA - FILIPINA. Seorang anggota kanan Abu Sayyaf dan empat anggota kumpulan itu yang dipercayai mendalangi serangan pengeboman di sebuah gereja di wilayah selatan Filipina telah menyerah diri kepada pihak berkuasa, menurut ketua polis, pada Isnin.

Oscar Albayalde berkata, Kammah Pae yang disyaki membantu pasangan warga Indonesia melancarkan serangan berani mati pada 27 Januari lalu tampil menyerah diri kepada tentera.

"Dia terpaksa berbuat demikian kerana dia mungkin tidak mahu terbunuh dalam operasi dilancarkan tentera. Pae bagaimanapun menafikan penglibatannya dalam serangan berkembar di Jolo yang meragut 23 nyawa termasuk orang awam dan tentera. Saksi mendakwa dia dilihat bersama pasangan terbabit.

"Pihak berkuasa juga menemui alat letupan diubah suai (IED) dan komponennya di kediaman lelaki tersebut. Kesemua mereka akan berdepan beberapa tuduhan membunuh,' ujarnya.

Jelasnya, siasatan terhadap pengeboman di Sulu yang merupakan kubu kuat Abu Sayyaf masih diteruskan."Masih terdapat beberapa bukti yang perlu diperiksa dengan teliti,' tambahnya lagi.

Sabtu lalu, sekurang-kurangnya lima anggota Abu Sayyaf maut dalam insiden berbalas tembakan di Patikul di wilayah Sulu selepas tentera melancarkan operasi memburu dalang serangan berdarah terbabit.

Minggu lalu, Presiden Rodrigo Duterte percaya letupan berkembar itu adalah satu serangan berani mati dan beberapa hari selepas itu, Menteri Dalam Negeri, Eduardo Ano memaklumkan ia didalangi pasangan Indonesia dengan bantuan Abu Sayyaf. - Reuters

Artikel Berkaitan: