ADUN Pas tak jadi menghadap Sultan Nazrin

Kor Ming antara pemimpin PH yang dilihat hadir ke Istana Kinta bersama Farhash Wafa Salvador dan Asmuni hari ini.
Kor Ming antara pemimpin PH yang dilihat hadir ke Istana Kinta bersama Farhash Wafa Salvador dan Asmuni hari ini.
A
A
A

IPOH - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas tidak jadi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah seperti dijadualkan di Istana Kinta hari ini.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria yang juga ADUN Gunung Semanggol ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

Menurutnya, pendirian Pas ketika ini adalah menyokong kerjasama Perikatan Nasional (PN) dalam kerangka pentadbiran lama.

"Untuk melantik yang baharu ini, kita belum ada keputusan, sokongan kita adalah bersama dalam jajaran PN terdahulu," katanya.

Selain Razman, Pas diawakili ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

Dalam pada itu, tiga pengerusi parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) Perak dilihat masuk ke Istana Kinta sebentar tadi untuk menghadap sembah Sultan Nazrin.

Mereka adalah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi.

Ketiga-tiga mereka tiba berasingan menaiki kenderaan masing-masing pada jam 2.55 petang.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, semua ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas negeri ini dipanggil menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta hari ini.

Pertemuan itu adalah atas perkenan baginda untuk mendengar sendiri pendirian mereka berhubung penubuhan kerajaan Perak yang baharu.

Ia susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa parti itu sudah mendapat sokongan majoriti bagi melantik Menteri Besar Perak yang baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Perak titah semua ADUN Bersatu, Pas menghadap