X

Kindly register in order to view this article
!

Syarikat minuman guna logo halal tidak sah diserbu

KPDNHEP Selangor menyerbu sebuah syarikat produk minuman di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam kerana menggunakan logo halal tidak sah.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas produk minuman yang menggunakan logo halal tidak sah bernilai RM45,000 dalam serbuan di sebuah syarikat di Bandar Pinggiran Subang semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 11.45 pagi itu mendapati syarikat berkenaan menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah dibatalkan.

Menurutnya, ia disebabkan operasi syarikat berkenaan gagal mematuhi standard pemegang sijil halal seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) antaranya keadaan premis yang kotor dan bahan mentah diletakkan di atas lantai kilang.

"Serbuan menemui sejumlah 830 botol minuman kordial yang menggunakan logo halal Jakim yang telah dibatalkan penggunaannya.

"Turut ditemui adalah sejumlah 4,100 kotak pembungkus dan hampir 700 gulung pelekat atau label produk yang menggunakan logo halal yang telah dibatalkan penggunaan oleh JAIS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan wakil syarikat terbabit bahawa permohonan rayuan ke atas penarikan sijil halal syarikat itu juga ditolak oleh pihak JAIS berikutan terdapat teguran-teguran yang dibuat gagal diambil tindakan sewajarnya dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, kes disiasat di bawah Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

"Oleh yang demikian, saya memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana pengilang atau pengusaha makanan dan minuman di Selangor supaya tidak menggunakan logo Halal Jakim atau apa-apa ungkapan halal dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa. Penalti berat akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingkar," katanya.

Tegasnya, pengguna di Selangor atau orang awam boleh salurkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!