X

Kindly register in order to view this article
!

Mengaku tidak salah gagal beri penjelasan pemilikan harta RM368,162.98

Mohd Zainal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal memberi penjelasan mengenai pemilikan harta RM368,162.98 dalam akaun bank miliknya.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Pembantu Perikanan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan gagal memberi penjelasan mengenai pemilikan harta RM368,162.98 dalam akaun bank miliknya.

Mohd Zainal Murad @ Jusoh, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zainal yang kini digantung kerja, didakwa tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan berkaitan tentang pemilikan harta alih iaitu wang sebanyak RM660,777.74 yang mana terdiri daripada akaun-akaun bank dan tunai yang dimilikinya, menunjukkan harta berlebihan sebanyak RM368,162.98 setelah diambil kira emolumennya (gaji) sekarang dan sebelum ini.

Kejadian didakwa berlaku Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 30 Januari lalu serta dituduh mengikut Seksyen 36(3) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang kes ini disiasat malah dia hadir sendiri dari Perlis ke mahkamah ini,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon agar ikat jaminan dikurangkan kerana dia mempunyai penyakit jantung, darah tinggi, tinggi kolestrol dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Kangar, Perlis.

“Saya kini digantung kerja sejak Februari lalu, perlu menyara isteri dan tiga anak.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira faktor kewangan saya, lebih-lebih lagi selepas saya didenda RM10,000 kerana mengaku bersalah atas pertuduhan bagi kes lain di Mahkamah Kangar, November lalu,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta dilarang ke luar negara sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Januari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mohd Zainal (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan gagal memberi penjelasan mengenai pemilikan harta RM368,162.98 dalam akaun bank miliknya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!