Kemelut Ketua Wanita PKR Terengganu perlu selesai cara baik

Armila (kanan) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Mas, Dungun.
Armila (kanan) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Mas, Dungun.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Isu pelantikan Ketua Wanita PKR Terengganu yang kini hangat diperkatakan harus diselesaikan di meja rundingan, bukan melalui media.

Ketua Wanita PKR Dungun, Armila Alias berharap Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha turun ke Terengganu bersemuka dengan lapan ketua wanita PKR cabang bagi menamatkan kemelut berkenaan.

Menurutnya, perbincangan dari hati ke hati bersama seluruh kepimpinan wanita negeri adalah cara terbaik menangani isu itu.

“Bagi saya selagi YB Haniza tidak turun ke Terengganu, masalah tidak akan selesai. Datang bersemuka dengan ketua-ketua wanita cabang jika YB benar-benar nak bawa kejayaan di Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Armila berkata, pelantikannya sebagai Ketua Wanita PKR negeri baharu diumumkan Pengerusi PKR Terenggan, Azan Ismail dan dibuat tanpa pengetahuannya kerana tidak hadir ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) diadakan dan itu adalah pandangan MPN.

Bagaimanapun Armila berkata, dalam menggerakkan sesuatu organisasi, budaya dan kehendak masyarakat setempat harus diutamakan kerana ia menjadi salah satu faktor penyumbang kejayaan dan atas sebab itu pemimpin tempatan harus diambil kira.

“Kami Wanita di Terengganu mahu menang pilihan raya, untuk menang kami perlukan sokongan dari kedua-dua pihak sama ada MPN mahupun kepimpinan Pusat.

“Jadi saya harap, perbalahan ini dapat ditamatkan dan kita fokus kepada gerak kerja meraih sokongan rakyat sebagai persiapan menghadapi PRU15 nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan: