PBB isytihar 27 Disember Hari Kesiapsiagaan Wabak Antarabangsa

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
A
A
A

WASHINGTON - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengisytiharkan 27 Disember sebagai Hari Kesiapsiagaan Wabak Antarabangsa berikutan wabak maut itu kini meragut lebih sejuta nyawa sejak pertama kali dikesan hampir setahun lalu, lapor Agensi Anadolu.

Perhimpunan Agung mengisytiharkan hari itu bagi "memperlihatkan peri pentingnya pencegahan, persediaan dan perkongsian dalam usaha memerangi wabak," kata PBB dalam satu kenyataan.

Pengisytiharannya dibuat beberapa hari selepas ratusan pemimpin dunia menyertai sesi khas mengenai Covid-19 yang diadakan secara maya.

Sesi yang berlangsung pada Khamis dan Jumaat itu menggesa tindakan segera untuk menjamin pengedaran vaksin Covid-19 yang adil dan saksama bagi memastikan semua pihak dapat menikmati kemudahan berkenaan.

Tambah kenyataan itu lagi, Covid‑19 bukanlah wabak pertama mahupun yang terakhir.

"Wabak itu mengejutkan kita semua dan menjadi amaran untuk kita segera bertindak dan tingkatkan tahap kesiapsiagaan," menurut kenyataan itu yang dibacakan Duta Vietnam ke PBB Dang Dinh Quy.

Di seluruh dunia, jumlah korban Covid-19 kini melebihi 1.5 juta sejak virus itu pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lalu.

Jumlah jangkitan pula melepasi 67.5 juta, manakala lebih 43 juta lagi sudah pulih, menurut data Johns Hopkins University. - Bernama

Artikel Berkaitan: